Ahmad Faizal ‘bebas’ terus terajui PAFA, walaupun bukan MB lagi, kata EXCO Perak

Ahmad Faizal ‘bebas’ terus terajui PAFA, walaupun bukan MB lagi, kata EXCO Perak

EXCO Belia, Sukan, Komunikasi, dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed, berkata tiada masalah untuk Faizal terus menerajui Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Ahmad Faizal Azumu.
IPOH:
Walaupun terpaksa melepaskan jawatan menteri besar Perak, Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu, diberi kebebasan untuk kekal sebagai presiden persatuan bola sepak negeri itu, menurut EXCO kerajaan negeri baharu.

EXCO Belia, Sukan, Komunikasi, dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed, berkata kerajaan negeri baharu tiada masalah untuk Faizal terus menerajui Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

“Terpulang pada beliau, kita di peringkat kerajaan negeri hanya nak memastikan perjalanan pasukan Perak berada dalam keadaan cukup baik kerana bola sepak merupakan sukan yang cukup rapat di hati rakyat.

“Di peringkat kerajaan negeri, kita akan akan memantau pergerakan atau apa jua yang berlaku di PAFA kerana hasrat kita untuk pastikan semua berjalan lancar,” katanya selepas mesyuarat EXCO di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Pada 16 Dis lalu, Faizal memaklumkan akan meletak jawatan presiden PAFA selepas berakhirnya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Beliau berundur sebagai MB setelah gagal memperolehi sokongan ADUN UMNO dalam undian percaya terhadapnya di DUN Perak.

Pengunduran beliau menyaksikan kepimpinan pentadbiran Perikatan Nasional beralih daripada PPBM kepada UMNO.

Khairul berkata sekiranya Faizal kekal dengan pendiriannya untuk meletak jawatanpresiden PAFA, perkara itu perlu diputuskan dalam Kongres Tahunan PAFA yang dijadual berlangsung pada awal tahun hadapan.

“Semuanya bergantung kepada kongres itu. Kita tiada kuasa dan kita juga tak berhasrat untuk letakkan mana-mana individu untuk jawatan tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.