
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan, sedang menyiasat dakwaan itu seperti ditularkan melalui media sosial Facebook, semalam.
Pengarahnya Wan Mat Wan Harun berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat mengesahkan kejadian berkenaan, memandangkan tiada maklumat sahih mengenai penemuan reptilia berkenaan seperti yang didakwa.
“Kita akan siasat terlebih dahulu sama ada video yang ditularkan itu benar-benar berlaku di kawasan perairan berkenaan atau sebaliknya.
“Kita juga nasihat orang awam supaya tidak panik dan perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa, sekiranya ternampak kehadiran buaya,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai sebuah video berdurasi 1 minit 41 saat yang tular di media sosial, memaparkan “sepasang mata” dikatakan buaya timbul di permukaan pantai Bagan Pinang, semalam.
Mengulas lanjut, Wan Mat berkata setakat ini pihaknya belum menerima apa-apa laporan mengenai kewujudan reptilia berkenaan.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) Mohd Zamri Mohd Esa berkata perkara sama juga pernah dilaporkan sebelum ini, namun tiada tangkapan terhadap retilia berkenaan pernah dilaporkan.
“Bagaimanapun, kita akan serahkan perkara ini untuk tindakan PERHILITAN untuk menyemak kesahihannya,” katanya.