Internet kelajuan tinggi wajib dalam semua projek pembangunan P. Pinang

Internet kelajuan tinggi wajib dalam semua projek pembangunan P. Pinang

Pulau Pinang dipercayai negeri pertama berbuat demikian.

GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang mewajibkan penggunaan internet kelajuan tinggi melalui kabel gentian optik dalam semua projek pembangunan akan datang.

Dasar itu berkuat kuasa serta-merta selepas kerajaan negeri mengklasifikasikan perkhidmatan internet setaraf kemudahan awam lain seperti elektrik dan pembekalan air.

Pengerusi Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata majlis bandar raya meminda undang-undang untuk menyenaraikan perkhidmatan internet sebagai kemudahan awam.

Dipercayai Pulau Pinang adalah negeri pertama berbuat demikian.

“Sukacita diumumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) pada 17 Dis memutuskan supaya pemaju kini diwajibkan menyediakan infrastruktur telekomunikasi gentian optik memandangkan penggunaan pendawaian tembaga tidak lagi relevan.

“Penguatkuasaan pemasangan infrastruktur komunikasi ini (boleh membantu) mencapai matlamat ketersediaan kelajuan gigabit (dan) mempercepatkan proses pelaksanaan teknologi capaian 5G yang bakal direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pendawaian tembaga, yang membolehkan kelajuan internet mencapai sehingga 300 megabit sesaat (Mbps), pada hakikatnya hanya dapat mencapai sehingga 30Mbps, menurut laporan sebelum ini.

Hampir sejuta bangunan dalam negara menggunakan perkhidmatan internet yang berasaskan pendawaian tembaga, lapor syarikat telekomunikasi YTL pada tahun lalu. Bank Dunia turut menyebut bahawa meskipun penggunaan internet mudah alih dalam negara amat tinggi, penggunaan jalur lebar tetap masih terlalu rendah.

Berdasarkan kajian Bank Dunia pada 2018, Telekom Malaysia mempunyai lebih 830,000km kabel gentian optik dan mewakili 92% pasaran jalur lebar tetap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.