DBKL tawar kurang caj pembangunan sehingga 50% kepada pemaju

DBKL tawar kurang caj pembangunan sehingga 50% kepada pemaju

Ia bagi merancakkan semula sektor pembinaan yang tergendala susulan wabak COVID-19.

Menteri Annuar Musa berkata DBKL juga akan mengurangkan masa pemprosesan permohonan kelulusan perintah pembangunan, pelan pembangunan, dan pelan kejuruteraan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan pengurangan caj pembangunan sehingga 50% kepada pemaju bagi merancakkan kembali sektor pembinaan yang tergendala ekoran kesan wabak COVID-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, berkata pemaju boleh mengemukakan permohonan bagi projek yang mula dilaksanakan dalam tempoh 1 Jun lepas hingga 31 Mei tahun depan yang lazimnya akan siap dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, menerusi inisiatif itu pihaknya berharap dapat mengurangkan beban pemaju yang terkesan dengan pandemik dan membolehkan kerja pembinaan tergendala dimulakan secepat mungkin bagi merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang ramai.

“Kementerian juga bersetuju dengan usaha DBKL untuk mengurangkan masa pemprosesan permohonan kelulusan Perintah Pembangunan, Pelan Pembangunan, dan Pelan Kejuruteraan kepada jangka masa lebih singkat.

“Ini menjadikan perkhidmatan DBKL lebih efisien, selain dapat mengurangkan kos pegangan kepada pemaju,” katanya pada sesi libat urus bersama pemaju.

Beliau berkata, DBKL setakat ini meluluskan permohonan 36 projek pembangunan yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM35.9 bilion.

Pihaknya juga menggalakkan pengambilan graduan muda bagi membantu mengurangkan kadar pengangguran, selain menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.