Kapal asing masuk perairan PP secara haram, Ahli Parlimen bidas suruhanjaya pelabuhan

Kapal asing masuk perairan PP secara haram, Ahli Parlimen bidas suruhanjaya pelabuhan

Steven Sim berkata, SPPP lalai dalam melaksanakan tanggungjawabnya menjaga keselamatan pelabuhan dan rakyat.

Sebuah kapal dari Iran dilaporkan berlabuh di terminal kontena Pulau Pinang tanpa kebenaran dan dipindahkan ke dermaga Prai selepas itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong membidas kerajaan persekutuan dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) kerana gagal mengesan sebuah kapal dari Iran yang memasuki perairan negeri itu secara haram.

“Bagaimanakah sebuah kapal asing dengan krew yang sakit boleh memasuki perairan negara kita dan seterusnya berlabuh tanpa dikesan oleh pihak berkuasa?

“Mengapa pihak berkuasa keselamatan gagal mengesan dan mengambil tindakan terhadap kapal asing tersebut?

“Mengapa pihak berkuasa pelabuhan tidak menyedari kapal asing telah berlabuh di pelabuhan tanpa kebenaran?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Steven berkata, ini merupakan isu yang penting kerana ia melibatkan keselamatan negara.

Beliau berkata, sekiranya kapal tersebut dimiliki pengganas atau anak kapalnya dijangkiti wabak Covid-19, maka ia boleh memberi ancaman kepada negara.

“Kerajaan persekutuan jelas sibuk bermain politik sehingga mengabaikan soal urus tadbir negara.

“Keadaan ini membawa mudarat besar kepada rakyat Malaysia. Bayangkan apa akan terjadi jika kapal asing tersebut membawa pengganas,” katanya.

Steven berkata, SPPP lalai dalam melaksanakan tanggungjawabnya menjaga kepentingan pelabuhan dan rakyat Pulau Pinang, sekali gus menggesa pengerusi SPPP Tan Teik Cheng supaya meletak jawatan atas kegagalan itu.

Akhbar The Star melaporkan hari ini, kapal tersebut kini dipindahkan ke dermaga Prai dan bersedia untuk belayar keluar dari Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.