
Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), aktiviti sukan dibenarkan namun tanpa kehadiran penonton.
“Perlawanan saingan Piala Malaysia juga dibenarkan bermula 1 Januari namun bergantung kepada kawasan berkenaan sama ada dikenakan PKPP atau PKPB,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata, bagi kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), sebarang perlawanan dan aktiviti sukan tidak dibenarkan sama sekali.
Menyentuh aktiviti sukan di kawasan PKPB, beliau berkata, aktiviti sukan dan rekreasi kategori individu dan berpasukan bagi tujuan aktiviti latihan, permainan dan perlawanan (indoor dan outdoor) tanpa penonton dibenarkan.
“Kapasiti pengguna bagi setiap premis yang terlibat hendaklah tidak melebihi 50% kapasiti keseluruhan premis tersebut sementara aktiviti massa serta acara dan pertandingan sukan dengan kehadiran penonton tidak dibenarkan,” katanya.
Mengenai pembukaan sektor pelancongan di kawasan PKPB, Ismail berkata, kerajaan bersetuju membenarkan operasi persidangan dan pameran, pembukaan zoo atau taman negara, muzium, galeri seni, pentas persembahan budaya serta taman tema dan pusat hiburan keluarga termasuk taman tema air bermula esok.
“Bagaimanapun, jumlah kehadiran pengunjung tertakluk kepada 50% keluasan premis sementara bagi sektor melibatkan persembahan pentas, ia dibenarkan tanpa kehadiran penonton,” katanya.
Mengulas mengenai perayaan Krismas 25 Disember ini, Ismail berkata, sambutan dibolehkan tetapi hanya dalam kalangan keluarga terdekat dan tidak melebihi 20 orang.
“Bagaimanapun, rumah terbuka dari rumah ke rumah di kawasan PKPP, PKPB dan PKPD tidak dibenarkan.
“Upacara sembahyang di semua rumah ibadat dalam kawasan PKPD juga tidak dibenarkan dan sambutan perayaan hanya dibenarkan bagi keluarga dalam rumah sahaja,” katanya.