
Beliau berkata keputusan menamakan stadium itu Ffira Mikah yang tular sehingga menimbulkan kontroversi baru-baru ini tidak dibuat mengikut tatacara kerajaan negeri.
Pelbagai pihak mendakwa Ffira Mikah adalah nama pegawai daerah berkenaan, Hakim Ariff, apabila diterbalikkan.
Sanusi berkata keputusan menamakan stadium itu Fifra Mikah didapati hanya dibincangkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak dibawa untuk tindakan dalam mesyuarat exco bagi tujuan kelulusan.
Beliau berkata nama stadium itu akan ditukar mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Semua nama-nama jalan, taman, lokasi, atau stadium yang nak dinamakan sempena apa-apa kena bincang di peringkat majlis kerajaan tempatan dahulu kemudian dibawa ke mesyuarat exco untuk kelulusan,” katanya.
Menyentuh tindakan yang bakal diambil terhadap pegawai daerah itu, Sanusi berkata perkara tersebut akan diserahkan kepada setiausaha kerajaan negeri untuk menentukannya, bersesuaian dengan urusan pentadbiran.
“Nama baharu akan diangkat dalam mesyuarat exco untuk kelulusan tapi saya tak fikir dia akan angkat nama itu semula sebab kalau tanya saya pun, saya tak setuju dengan nama itu,” katanya.