
Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif MAH Yap Lip Seng berkata, peningkatan itu kemungkinan besar tidak rancak seperti permulaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) Jun lalu.
“Industri menggalakkan orang ramai yang sebelum ini membatalkan tempahan kerana larangan pergerakan antara negeri supaya membuat perancangan semula dengan hotel,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini kerajaan mengumumkan rentas negeri dan daerah dibenarkan di seluruh negara kecuali di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah dilanjutkan bermula 7 hingga 20 Dis.
Yap berkata, buat masa ini belum ada peratusan peningkatan tempahan di hotel, namun menjangkakan ia diketahui Khamis ini.
Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) mengakui kebenaran merentas negeri meningkatkan aktiviti pelancongan, tetapi tidak mendadak dan berlaku secara perlahan.
Presiden MITA Uzaidi Udani berkata, tempoh dua minggu ini akan mengukur sama ada peningkatan itu berbaloi atau tidak bagi industri.
“Untuk kelonggaran ini, kita berterima kasih pada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana industri dapat bangunkan semula ekonomi pelancongan tempatan.
“Penggiat industri perlu buktikan kita masih mampu lawan pandemik Covid-19,” katanya.

Uzaidi bagaimanapun mengingatkan penggiat industri pelancongan supaya berhati-hati dan tidak menganggap kebebasan itu membolehkan mereka melanggar SOP.
Katanya, penggiat industri pelancongan dan pelancong tempatan perlu mematuhi SOP supaya dapat mengimbangi antara ekonomi dan kesihatan.
“Rakyat dan pelancong tempatan diharap melancong secara bertanggungjawab. Mereka boleh memilih destinasi berdekatan dan tidak perlu pergi jauh.
“Penggiat (industri pelancongan) perlu bertanggungjawab kerana kelonggaran ini bukan bermakna tidak ada kes Covid-19, malah lebih banyak lagi.
“Ini terpaksa kita hadapi dan hidup bersama virus Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet Emmy Suraya Hussein berkata, walaupun rentas negeri dibenarkan, tempahan masih perlahan.
Katanya, mungkin masih awal atau pelancong domestik masih berjaga-jaga dengan bajet dan keselamatan keluarga.
“Lagipun rentas negeri baru dibuka. Mungkin mereka dalam perancangan untuk melancong. Harap ada peningkatan nanti,” katanya.
Industri pelancongan dijangka mengalami kerugian lebih RM100 bilion tahun ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata, jangkaan itu dibuat susulan penularan Covid-19 kini memasuki gelombang ketiga yang memberi kesan kepada sektor berkenaan.