
Katanya, Ahli Parlimen terbabit akan ditempatkan di satu ruangan khas untuk mengikuti proses mengundi bagi peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021.
“Ya, mereka boleh datang, tetapi untuk masuk ke dalam dewan mereka kena lengkap berpakaian PPE.
“Kita juga akan letakkan mereka di satu ruangan khas dalam Dewan Rakyat,” katanya selepas sesi dialog bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang di ibu pejabat parti itu.
Beliau berkata, Ahli Parlimen yang menjalani HSO ialah Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.
Bermula esok ialah minggu terakhir persidangan Dewan Rakyat bagi tahun ini menyaksikan lima lagi kementerian akan melalui sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa RUU Perbekalan 2021.
Kehadiran Ahli Parlimen dianggap kritikal bagi menentukan RUU berkenaan diluluskan atau sebaliknya dengan bacaan ketiga dijangka pada 16 Dis ini.
Ketika ini, dua Ahli Parlimen blok kerajaan antara yang menjalani perintah HSO iaitu Adham dan Saravanan.
Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara mengesahkan beliau menjalani perintah HSO hingga 18 Dis kerana menjadi kontak rapat seorang petugas media yang disahkan positif Covid-19.
Manakala Saravanan, Ahli Parlimen Tapah memaklumkan, beliau menjalani perintah kuarantin selepas menjadi kontak rapat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Shahul Hameed Dawood, yang disahkan positif Covid-19.