
Dua lebuh raya itu adalah Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang akan menghubungkan Ulu Klang ke Sungai Besi, dan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang akan menghubungkan Shah Alam ke Damansara.
Kedua-duanya dijangka siap dan dibuka pada suku ketiga tahun depan.
Seorang penduduk di Taman Dagang di Ampang, Adnan Shaari, berkata keadaan lalu lintas di kawasan itu “sangat dahsyat” sepanjang tujuh tahun beliau tinggal di situ.
Adnan yang juga presiden persatuan penduduk Taman Dagang memberitahu FMT bahawa beliau yakin Lebuh Raya SUKE akan menjadi penyelesaian masalah kerana kini beliau terpaksa mengambil masa lebih lama untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja.
“Saya mengambil masa hampir 45 minit untuk tiba di tempat kerja sekarang, sedangkan ia sepatutnya mengambil masa setengah jam.”

Manakala seorang pensyarah, Adlan Abdul Razak, yang tinggal di Cahaya SPK berkata, DASH akan memberi kelegaan kepada kesesakan lalu lintas apabila siap nanti.
“Kami berdepan banyak masalah ketika waktu puncak. Perjalanan untuk sampai ke tempat kerja sejauh 20km boleh mengambil masa lebih 40 minit, terutama apabila Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) sesak dengan kenderaan menuju ke Kuala Lumpur.
“DASH akan menjadi laluan terbaik kepada mereka yang menuju ke pusat bandar raya,” katanya, selain menambah bahawa DASH juga akan mengurangkan kesesakan yang dihadapi mereka yang bergantung pada lingkaran jalan raya berdekatan.
Fazrul Riza Baharin yang menggunakan Persiaran Mokhtar Dahari setiap hari tidak sabar menunggu DASH siap dibina.
“Saya bekerja di Shah Alam dan apabila bertolak ke tempat kerja pada 8 pagi ia sudah sesak,” katanya, dengan menambah sebahagian kesesakan berpunca daripada kerja-kerja pembinaan lebuh raya baru itu, namun beliau akan “berasa sangat gembira apabila ia siap.”
Kedua-dua lebuh raya itu dibangunkan oleh Kumpulan Syarikat Prolintas dan akan menjadi sebahagian daripada jalan lingkaran baharu yang akan memberi kemudahan akses ke bandar.
SUKE dan DASH memberi manfaat kepada lebih 120 kawasan perumahan dan dijangka akan mengurangkan kesesakan jalan raya lebih 30% pada waktu puncak.
Aktiviti perniagaan juga dijangka berkembang dengan kemudahan perjalanan yang menghubungkan bandar baharu di kawasan itu.