
Sultan Nazrin menyifatkan pertukaran menteri besar Perak buat kali ketiga sejak 2018 sebagai kegagalan ahli politik yang berfikiran “jumud” dan tidak berhenti-henti “beradu kuasa” sehingga menganiayai rakyat.
Sentimen sama boleh dirasai dalam kalangan rakyat Perak sendiri berkenaan isu pertukaran menteri besar di negeri itu.

Pengurus ladang, Mohd Faizol Mohamed Haniba, 36, ketika ditemu bual FMT berkata, sebagai anak jati Perak beliau terkilan dengan krisis politik yang dicetuskan oleh ahli politik pada saat rakyat berdepan dengan situasi sukar berikutan pandemik Covid-19.
Faizol berkata, kerajaan negeri sepatutnya melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang diberi bersama-sama, selain berlaku adil kepada semua rakyat dalam memenuhi keperluan mereka.
“Agak terkilan dengan ahli politik yang berebut kuasa pada saat Covid-19 ini. Mereka sepatutnya memberi harapan dan bantuan kepada rakyat dalam menjalani kehidupan norma baru yang mencabar ini.
“Saya berharap menteri besar yang baru dilantik berlaku adil kepadai semua kaum dan tidak memilih bulu.
“Tunjukkan contoh kepemimpinan terbaik di Perak. Rosak pemimpin, maka akan rosak negeri yang kami cintai ini.”
Penulis, Marfika Adnan Haris Fadzilah, 29, pula berkata, wakil rakyat sepatutnya lebih mengutamakan rakyat, negeri dan negara, bukan diri sendiri. Jika kemelut begini berterusan, besar kemungkinan pihak yang mentadbir akan hilang kepercayaan.
“Wakil rakyat sepatutnya lebih pentingkan rakyat,negeri dan negara bukan diri sendiri. Jika kemelut begini berterusan, maka rakyat tidak perlukan lagi wakil rakyat untuk membela nasib mereka. Elok Sultan sahaja yang memerintah negeri Perak.
“Ketika negara sedang bertungkus-lumus menghadapi Covid-19 ini, tidak perlulah terlampau taksub politik. Jangan terlalu mengejar keduniaan. Sentiasa utamakan rakyat.”

Sementara itu, peniaga makanan, Faiz Naziq Mohd Fauzi, 28, berharap kemelut politik tidak lagi berulang dan wakil rakyat yang dilantik memberi tumpuan kepada masalah yang dialami oleh rakyat.
“Saya berharap kemelut politik tidak lagi berulang. Wakil rakyat sila beri tumpuan kepada kawasan-kawasan anda. Hentikan perbalahan dan berkhidmatlah kepada warga Perak yang memilih anda sebaiknya.”
Pengaturcara komputer, Teh Fu Hau, 26, meluahkan rasa sedih dan kecewa apabila isu politik menjadi keutamaan sedangkan rakyat resah memikirkan cara untuk bertahan dalam situasi pandemik dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Ini amat menyedihkan, pertukaran menteri besar berkali-kali bukan sahaja menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan, ia juga menggugat prestasi ekonomi masa kini.”
Seorang pesara, Hamizi Mohamad Khalil, 57 berkata, pertukaran menteri besar berulang kali di Perak seolah-olah menggambarkan wakil rakyat yang dipilih tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik dan tiada kerjasama antara Exco dilantik.
“Mereka ini tidur satu bantal, tetapi mimpi lain-lain. Kika tiada kerjasama antara mereka mungkin menteri besar akan bertukar lagi selepas ini.”