Selesai dulu isu pembelajaran waktu pandemik, bukan warna kasut, stoking, kata persatuan

Selesai dulu isu pembelajaran waktu pandemik, bukan warna kasut, stoking, kata persatuan

Kementerian Pendidikan seharusnya mencari jalan segera untuk menyediakan persekitaran selamat kepada pelajar terutama mereka yang bakal menghadapi peperiksaan besar.

Isu warna kasut dan stoking pelajar sekolah adalah perkara remeh yang tidak perlu diperbesarkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan ibu bapa mengkritik tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) yang disifatkan tidak mengutamakan isu pokok dalam sistem pendidikan negara dengan mendahulukan perkara remeh termasuk warna kasut dan stoking.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Rahim berkata, KPM seharusnya mencari jalan segera untuk menyediakan persekitaran selamat kepada pelajar terutama mereka yang bakal menghadapi peperiksaan besar iaitu tingkatan lima dan enam.

“Isu ini terlampau remeh. Banyak lagi isu pendidikan yang perlu didalami, dipertikaikan dan dirancang bagaimana hendak ke sekolah dengan selamat di alam pandemik Covid-19 ini.

“Tingkatan lima dan enam perlu diberi jalan untuk ke sekolah dengan segera,” katanya kepada FMT.

Noor Azimah Rahim.

Kelmarin, menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) KPM Bil 4 Tahun 2020 yang diedarkan kepada ketua bahagian dan pengarah pendidikan negeri, kementerian memutuskan pelajar sekolah rendah dan menengah dibenarkan memakai kasut berwarna hitam atau putih bersama warna stoking yang sama mulai sesi persekolahan 2021.

Mengakui keputusan itu perkara remeh yang tidak perlu diperbesarkan, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Mohamad Ali Hasan pula berkata, KPM perlu menyelesaikan isu pembelajaran dalam talian terlebih dahulu berbanding warna kasut.

“Isu ini terlalu ringan dan tak perlu perbincangan lanjut pun, terpulanglah kepada ibu bapa untuk memilih mengikut kemampuan masing-masing.

Mohamad Ali Hasan.

“Masalah yang perlu diatasi segera ketika ini ialah pengisian sukatan pelajaran, kesiapsiagaan menghadapi peperiksaan utama di kala negara masih mencatatkan kes positif Covid-19,” katanya.

April lalu, Menteri Kanan (Pendidikan) Mohd Radzi Jidin mengumumkan tarikh peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditunda kepada suku pertama tahun depan.

Peperiksaan Semester 3 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) juga diadakan pada suku pertama tahun depan.

Pada masa sama, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PT3 bagi tahun ini turut dibatalkan, sementara pelajar tingkatan lima dan enam atas yang akan menduduki SPM dan STPM akan diberi keutamaan untuk ke sekolah selepas PKP tamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.