Dewan Rakyat tolak usul pembangkang hapus peruntukan kepada JASA

Dewan Rakyat tolak usul pembangkang hapus peruntukan kepada JASA

Majoriti Ahli Parlimen bersetuju peruntukan untuk mewujudkan JASA atau J-KOM dikekalkan.

Pembangkang di Dewan Rakyat hari ini berkata, peruntukan kepada JASA perlu diberikan kepada jabatan dan kementerian lain, seperti KKM dalam mendepani wabak Covid-19.
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dibawa pembangkang supaya peruntukan sebanyak RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dipotong secara keseluruhan.

Keputusan menolak usul potong peruntukan JASA di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)
diumumkan Timbalan Yang Dipertua, Rashid Hasnon.

Keputusan menerusi undian suara majoriti bersetuju supaya ia dikekalkan.

Usul supaya peruntukan itu dipotong dan dihapuskan dibuat oleh Wilfred Madius Tangau (Warisan-Tuaran), Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya), Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), Fuziah Salleh (PH-Kuantan) dan Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun).

Ketika berucap membentangkan usul itu, Wilfred berkata, pihaknya menolak peruntukan kepada jabatan berkenaan kerana ia lebih merupakan penyebaran propaganda kerajaan dan dana itu sepatutnya diberikan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Maria Chin pula berkata, kewujudan J-KOM tidak diperlukan ketika ini memandangkan kerajaan sudah mempunyai agensi untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat di seluruh negara.

Pendirian Maria Chin disokong oleh Fuziah yang menganggap keputusan kerajaan memotong peruntukan kepada JASA daripada RM85.5 juta kepada RM40.5 juta juga perlu ditolak.

Sementara itu, Mukhriz berkata, dana untuk J-KOM perlu diberi kepada agensi lain dalam KKMM seperti Jabatan Penerangan (JAPEN) dan tiada keperluan untuk mewujudkan jabatan baru.

Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) bagaimanapun menolak usul itu dan menyokong peruntukan kepada J-KOM kerana peruntukan kepada kementerian lain perlu diteruskan untuk membantu rakyat, sekali gus membidas alasan pembangkang yang sengaja memainkan persepsi kononnya perlu mengutamakan peruntukan kepada usaha menangani wabak Covid-19.

Pendirian Nazri disokong Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang memaklumkan bahawa peruntukan kepada kementerian lain perlu diberikan supaya rakyat tidak kelaparan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah berkata, J-KOM bermatlamat mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dengan penyaluran maklumat yang tepat, sahih serta bijaksana.

“Kaedah yang digunakan ialah membangunkan komuniti khususnya di peringkat akar umbi, mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna serta fokus patriotisme menggunakan pendekatan mengupayakan komuniti. Saya ingin memberi jaminan J-KOM bukan jentera propaganda kerajaan,” katanya.

Ketika pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lalu, kerajaan pada awalnya memperuntukkan RM85.5 juta kepada JASA yang dijenamakan sebagai J-KOM di bawah KKMM.

Hari ini, kerajaan memutuskan untuk mengurangkan peruntukan itu sebanyak 50% kepada RM40.5 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.