PKPB: Sabah keluar garis panduan, SOP untuk sektor pelancongan, perhotelan

PKPB: Sabah keluar garis panduan, SOP untuk sektor pelancongan, perhotelan

PKPB di Sabah berkuat kuasa bermula hari ini hingga 20 Dis depan.

Penggiat sektor pelancongan dan perhotelan di Sabah antara lain perlu memastikan kapasiti 50% bagi setiap kumpulan pelancong pada satu-satu masa mengikut keluasan tempat dan ruangan bas persiaran.
KOTA KINABALU:
Kerajaan Sabah mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh penggiat sektor pelancongan dan perhotelan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hari ini sehingga 20 Dis.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata, garis panduan dan SOP itu diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, melibatkan aktiviti pelancongan umum, premis penginapan perhotelan dan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti (CoBT).

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, penggiat sektor pelancongan dan perhotelan antara lain perlu memastikan kapasiti 50% bagi setiap kumpulan pelancong pada satu-satu masa mengikut keluasan tempat dan ruangan bas persiaran.

Beliau berkata, penggiat sektor itu perlu memastikan setiap pelawat mendaftar menggunakan aplikasi Sabah Trace, MySejahtera dan buku catatan bagi pengesanan kontak rapat, memeriksa suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal serta menggunakan pelitup muka dan cecair basmi kuman.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun.

“Aktiviti pelancongan umum dan premis perhotelan perlu menyediakan garis panduan bagi mencegah penularan Covid-19, manakala penggiat CoBT pula diwajibkan membuat taklimat SOP sebelum sebarang aktiviti dimulakan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Masidi berkata, penggiat sektor terbabit turut diminta melakukan pembersihan dan disinfeksi sekurang-kurang tiga kali sehari di kawasan umum atau yang kerap disentuh, menguruskan sisa buangan dengan teratur, selain membuang pelitup muka ke dalam tong sampah tertutup untuk pelupusan.

Bagi sektor perhotelan, kerajaan negeri membenarkan restoran atau kafe beroperasi, juga mesyuarat dan seminar pada skala kecil dengan had kehadiran separuh daripada ruangan bilik atau tidak melebih 20 orang pada satu-satu masa.

Beliau berkat,a penggiat industri pelancongan juga digalakkan membuat promosi produk masing-masing secara dalam talian atau alternatif lain yang mampu mengurangkan kontak rapat dengan pelanggan.

Sementara itu Masidi berkata, Sabah merekodkan jumlah kumulatif Covid-19 sebanyak 30,786 kes setakat ini, dengan 218 kematian disebabkan wabak berkenaan.

Menurutnya, hari ini Sabah mencatatkan 248 kes, dengan 126 kes atau 50.18% daripadanya berpunca daripada saringan kontak rapat di 14 daerah; 61 kes (24.60%) saringan kluster sedia ada; saringan bergejala 36 kes (14.52%); saringan komuniti tujuh kes (2.8%); dan 18 kes (7.26%) adalah dari lain-lain kategori.

Beliau berkata, seramai 299 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di negeri itu 27,801 orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.