
Beliau yang tidak mahu membuat spekulasi berhubung keadaan di Perak, berkata pendirian Naib Presiden Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Bera, Ismail Sabri Yaakob untuk tidak bekerjasama dengan PKR atau DAP sejajar keputusan Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung parti itu.
“Bagi saya, pendirian tegas tersebut bukan hanya terpakai di Bera kerana ia adalah soal dasar parti.
“Melainkan ada perubahan dasar yang dipersetujui, pendirian itu tetap kekal,” tulisnya di Facebook susulan taklimat isu semasa anjuran Penerangan Umno Pahang dan Bahagian di Bera serta Lipis pada Ahad.
Katanya, ahli Umno mengharapkan penamat harmoni seperti dinyatakan Setiausaha Agungnya, Ahmad Maslan kelmarin yang menggesa PPBM dan PAS terus bersama Umno serta mengekalkan kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional tanpa penjajaran politik lain.
Beliau berkata, integriti dan prinsip ialah dua aspek terpenting dalam politik.
“Tanpa dua ramuan ini, kawan, lawan dan rakyat tidak akan ada keyakinan lagi kepada apa yang kita cakap.
“Kalau sampai suatu waktu orang tak percaya lagi apa kita cakap dan pejuangkan, apa lagi modal naratif yang kita nak bawa?
“Jika kita dengan parti lain ada garis merah yang tidak akan dikompromi, tentunya kita dalam parti dan dengan diri sendiri pun mesti ada garis merah.”
Terdahulu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad dilaporkan tidak menolak kemungkinan ia akan bergabung dengan beberapa parti lain, termasuk Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan Perak.
Katanya, keutamaan Umno ialah mengekalkan jajaran dan kerjasama politik terdahulu, iaitu kerjasama bersama Muafakat Nasional dan PN, namun apa juga tindakan parti itu mesti bertapak pada realiti.
Zahid berkata demikian susulan kerajaan negeri pimpinan Ahmad Faizal Azumu tumbang pada Jumaat, selepas menteri besar Perak itu hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri kerana 48 Adun tidak menyokong dan seorang berkecuali berbanding hanya 10 wakil rakyat yang menyokong usul undi percaya terhadapnya.