
Pada kedudukan sekarang, Barisan Nasional mempunyai 25 kerusi, dan Perikatan Nasional 8 (PPBM 5, PAS 3).
PH mempunyai 24 kerusi iaitu DAP 16, Amanah 5, dan PKR 3, manakala Gerakan dan Bebas masing-masing 1 kerusi.
“Kita serahkan kepada kebijaksanaan Sultan Perak untuk pertimbangkan siapa yang mempunyai majoriti mudah untuk dipilih sebagai menteri besar,” kata Shahrul di Instagram.
Menurut laporan media, Saarani antara nama yang disebut sebagai calon menteri besar baharu daripada Umno, di samping Shahrul sendiri dan bekas menteri besar, Zambry Abdul Kadir.
Persidangan Dewan Negeri Perak yang dijadualkan bersambung Rabu ini tidak dapat diteruskan sekiranya tiada menteri besar dan sekurang-kurangnya empat ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.
Faizal dijadualkan membentangkan Belanjawan Perak 2021 pada Jumaat lepas, namun tersingkir sebelum sempat berbuat demikian selepas undi percaya dibentangkan untuk belah bahagi.
Faizal menyerahkan surat peletakan jawatannya dan barisan pengerusi jawatankuasa tetap kepada Sultan Perak semalam.