
Dalam kenyataan, Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Mohd Salim Dulatti berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk air dalam botol jenama Meadows keluaran Malaysia dari pasaran Singapura sebagaimana dilaporkan Agensi Makanan Singapura (SFA).
Salim berkata, kementerian sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada SFA.
“Semakan awal mendapati kilang yang menghasilkan produk tersebut mempunyai pensijilan Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP) dan Lesen Air Minuman Berbungkus daripada KKM,” katanya.
Jumaat lalu, pihak berkuasa Singapura memerintahkan penarikan balik air minuman dalam botol diimport dari Malaysia selepas didapati ia dicemari bakteria yang biasanya terdapat dalam najis, tanah, air dan kumbahan.
Bakteria itu diketahui menyebabkan jangkitan pada darah dan radang paru-paru dalam tubuh manusia, selain menyebabkan penyakit pada tumbuhan dan haiwan.
Salim berkata, penjualan air botol mesti mematuhi Akta Makanan manakala penyediaan atau penjualan produk makanan yang beracun atau memudaratkan kesihatan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya disabit kesalahan.
“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi pejabat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM),” katanya.