Krisis Perak: PPBM rujuk PN, perbincangan peringkat tertinggi ‘berlaku berterusan’

Krisis Perak: PPBM rujuk PN, perbincangan peringkat tertinggi ‘berlaku berterusan’

Ketua penerangan PPBM berkata parti merujuk kepada Perikatan Nasional bagi langkah lanjut.

Perbincangan berhubung situasi di Perak berlaku berterusan di peringkat pemimpin tertinggi PN, terutama antara Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, dan Presiden PAS, Hadi Awang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan, memaklumkan partinya mengambil keputusan untuk merujuk kepada Perikatan Nasional, ketika ditanya mengenai langkah lanjut yang akan diambil berhubung situasi di Perak.

Katanya, perbincangan “berlaku berterusan” di peringkat pemimpin tertinggi Perikatan Nasional, terutama antara presidennya, Muhyiddin Yassin, dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

“Kita akan lihat perkembangan terkini dan bincang dengan rakan-rakan kita dalam PN dahulu,” katanya kepada FMT hari ini.

“Bila ada keputusan yang perlu dimaklumkan, kita akan keluarkan kenyataan rasmi.”

Terdahulu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan ia akan bergabung dengan beberapa parti lain, termasuk Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan Perak.

Katanya, keutamaan Umno ialah mengekalkan jajaran dan kerjasama politik terdahulu, iaitu membabitkan Muafakat Nasional dan PN, tetapi apa juga tindakan Umno mesti bertapak pada realiti.

Katanya, perbincangan antara Umno dan parti komponen PN, iaitu PPBM dan PAS sudah dibuat pimpinan Umno Perak, manakala beliau akan mengadakan perbincangan susulan di peringkat pusat.

Susulan itu, pemimpin PH Perak menyuarakan kesediaan bekerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh demi kepentingan rakyat.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, keutamaan parti itu sekarang ialah kekal menjalinkan kerjasama dengan PAS, PPBM dan Adun bebas untuk membentuk kerajaan baru di Perak.

Katanya, peluang bekerjasama dengan blok lain, yang dipercayai merujuk PH, bukan keutamaan Umno.

“Pilihan pertama yang utama tentu Umno mesti bersama dengan PAS, bebas dan PPBM untuk tubuh kerajaan dengan menteri besar baru.

“Pilihan yang lain memang ada, tapi pada saya ianya bukan yang pertama dan utama. Pucuk pimpinan semua parti tentu akan buat keputusan terbaik untuk negeri, rakyat dan negara,” tulisnya di Twitter hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.