
Sumber juga memaklumkan dalam pertemuan setengah jam itu, Muhyiddin, yang juga presiden PPBM, menjelaskan keadaan sebenar di Perak, dan meminta wakil-wakil rakyat parti itu di Johor menjaga tertib.
“Ya ada (pertemuan ketika persidangan di rehatkan). Untuk setengah jam, semua ADUN PPBM duduk bersama Perdana Menteri.
“Banyak yang sempat diperkata dan dibincangkan antaranya isu parti, masalah parti di Johor, Perdana Menteri juga menerangkan keadaan sebenar apa yang berlaku di Perak dan dia juga meminta semua kami (ADUN PPBM) bertenang serta tertib,” katanya kepada FMT.
Muhyiddin yang juga ADUN Gambir itu tiba kira-kira jam 11.20 pagi tadi di Bangunan Sultan Ismail, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Azmi Rohani, dan beberapa ADUN PPBM.
Semua perhatian tertumpu pada hari terakhir sidang DUN Johor hari ini, susulan perkembangan politik yang berlaku di Perak kelmarin apabila Menteri Besarnya, Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden PPBM, gagal memperoleh sokongan majoriti usul undi percaya dikemukakan.
Bagaimanapun, kedudukan Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar terjawab petang tadi selepas proses undian dan bacaan kali ketiga usul perbekalan (Belanjawan Johor) diluluskan menerusi suara majoriti pada Sidang DUN.
DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, PPBM (12), MIC (dua), PAS (satu), Amanah (sembilan) dan PKR (empat).