
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 3 kes import dan baki 1,332 kes penularan tempatan.
Katanya, Selangor terus mencatatkan kes harian tertinggi dengan 339 kes.
“Negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 515 kes (38.6%).
“Daripada jumlah itu, Selangor melaporkan kes harian tertinggi, iaitu sebanyak 337 kes (65.4%). Ini diikuti Negeri Sembilan sebanyak 258 kes (19.3%) dan Sabah sebanyak 250 kes (18.7%),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hisham berkata, negeri lain yang turut mencatatkan kes positif hari ini termasuk Kuala Lumpur (178), Johor (125), Perak (108), Pulau Pinang (31), Labuan (21), Kedah (17), Pahang (4), Melaka (3), Kelantan (2) dan Terengganu (1).
Katanya, hanya Sarawak, Putrajaya dan Perlis tidak merekodkan sebarang kes baru hari ini.
Beliau berkata, 243 kes (18.2%) yang dilaporkan hari ini berkaitan kluster di pusat tahanan sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan kluster Penjara Jalan Harapan (141 kes), kluster Tembok (92 kes), kluster PTS Sibuga (7 kes), kluster Bakti (2 kes) dan kluster Rumah Merah (1 kes).”
Seramai 11,039 pesakit Covid-19 sedang dirawat di seluruh negara, dengan 126 orang ditempatkan di unit rawatan rapi dan 57 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Sehingga kini, 61,273 pesakit daripada keseluruhan 72,694 kes positif sudah sembuh.
Hisham berkata, 2 kematian hari ini semuanya melibatkan warganegara di Perak dan Johor yang berusia 65 serta 73 tahun dengan sejarah penyakit kronik.