
Setiausaha agungnya Kamarul Baharin Mansor berkata, berdasarkan maklumat diterima, pihaknya meragui kilang itu akan ditutup sebaliknya ia lebih kepada mahu membuang pekerja dengan cara menawarkan VSS.
“Saya ada berhubung dengan pekerja Sony di Pulau Pinang, mereka kini resah dan tidak tahu hala tuju.
“Mereka juga memaklumkan sudah diberi surat tawaran VSS semalam (kelmarin) dan perlu menjawabnya sebelum 11 Dis ini dengan alasan diberikan pihak syarikat, iaitu kilang akan ditutup Sept tahun depan.

“Tetapi, mereka sangsi dengan alasan itu kerana kilang baru saja buat pengubahsuaian, mereka tidak nampak waktu kerja lebih masa (OT) dikurangkan, jumlah pekerja asing tidak dikurangkan, ciri-ciri dan tanda kilang hendak ditutup itu tidak nampak.
“Ia lebih kepada hendak buang pekerja, itu yang mereka rasakan. Pengubahsuaian baru saja berlaku dalam lima atau enam bulan lepas, jadi ia jauh dari kebiasaan jika ada tanda-tanda kilang hendak ditutup,” katanya kepada FMT.
Mengulas kesediaan kerajaan Pulau Pinang untuk menggerakkan rangkaiannya membantu pekerja terjejas, Kamarul berkata MTUC mengalu-alukan langkah itu dan berharap ia bukan sekadar cakap kosong untuk kepentingan politik.
“Kita alukan mana-mana pihak yang hendak bantu pekerja kena buang, tidak kiralah kerajaan negeri, kerajaan pusat atau perseorangan. Tetapi janganlah sekadar melepas batuk di tangga untuk sedapkan hati pekerja.
“Pengalaman kita yang lepas, bila berlaku pembuangan (pekerja) ramai pihak mula menjauhkan diri, tetapi sebelum sampai masa, ramai cakap hendak bantu, hendak sediakan kerja baru dan sebagainya, senang cakap untuk kepentingan politik dan hendak sedapkan hati. Apabila pembuangan pekerja berlaku, mereka ini akan terbiar dan tidak dapat kerja,” katanya.
Pihaknya berharap apa dikatakan kerajaan negeri itu ditunaikan jika betul-betul ikhlas hendak menolong rakyat.
Dalam perkembangan sama, Kamarul turut meminta kerajaan negeri melakukan pemantauan lebih dekat sama ada proses penutupan kilang benar-benar akan berlaku atau hanya pembuangan pekerja sahaja.
Terdahulu, FMT melaporkan kilang Sony di Pulau Pinang yang menghasilkan produk audio seperti “Walkman” untuk pasaran eksport dan tempatan, akan ditutup Sept tahun depan selepas 36 tahun beroperasi menyebabkan hampir 3,400 pekerja bakal diberhentikan.
Susulan laporan itu, kerajaan Pulau Pinang berkata, ia akan menggerakkan rangkaiannya membantu pekerja terbabit apabila kilang ditutup.