PKPB di Selangor, KL dan Sabah dilanjut hingga 20 Dis

PKPB di Selangor, KL dan Sabah dilanjut hingga 20 Dis

PKPB di Putrajaya, Labuan, Perak, Kelantan, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan berakhir tengah malam esok,

Beberapa daerah dan mukim yang dikategorikan zon merah atau kawasan berisiko tinggi di beberapa negeri masih dikenakan PKPB atau PKPD.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah dilanjutkan 14 hari lagi mulai 7 hingga 20 Dis ini.

Bagaimanapun, lanjutan PKPB di Selangor tidak termasuk Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Katanya, PKPB di Putrajaya, Labuan, Perak, Kelantan, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan berakhir tengah malam esok, di mana kawasan terbabit akan kembali kepada perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

“Keputusan dibuat selepas kes jangkitan di negeri dan daerah itu menunjukkan pengurangan sejak PKPB dilaksanakan, berdasarkan penilaian risiko jangkitan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bagaimanapun, Ismail berkata, beberapa daerah dan mukim yang dikategorikan zon merah atau kawasan berisiko tinggi di beberapa negeri masih dikenakan PKPB atau perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Di Pulau Pinang, kawasan yang masih dikenakan PKPB ialah mukim 12 (Barat Daya) dan 13 (Timur Laut), manakala PKPD akan dilaksanakan di Flat Jalan Paya Terubong, Relau dan Flat di Desa Bistari, Batu Uban mulai 7 hingga 20 Dis ini.

Di Perak, PKPB di daerah Kinta, mukim Teja di daerah Kampar dan mukim Changkat Jong di Hilir Perak disambung sehingga 20 Dis ini.

“Atas nasihat dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Depot Tahanan Imigresen Langkap beserta kuarters di Hilir Perak berkuat kuasa 6 sehingga 19 Dis.

“PKPD ini akan melibatkan 1,187 tahanan, 161 kakitangan serta 57 ahli keluarga.”

Tetapi, Ismail berkata, PKPD di zon B dan C Taman Meru 2C di Ipoh ditamatkan hari ini, lebih awal daripada dijadualkan.

PKPB di Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas di Kelantan, daerah Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan, daerah Kota Tinggi, Johor Bahru, Batu Pahat serta Kulai di Johor turut dilanjutkan 14 hari lagi.

Katanya, atas nasihat dan penilaian risiko KKM, PKPD akan dilaksanakan di Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah, Kg Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh mulai 7 hingga 20 Dis ini.

Beliau berkata, PKPD di K-Avenue, Megacity di Penampang ditamatkan hari ini, tetapi ia masih tertakluk kepada
lanjutan PKPB di seluruh Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.