Perlombongan di Ulu Muda ancam keselamatan air, kata aktivis

Perlombongan di Ulu Muda ancam keselamatan air, kata aktivis

Hutan simpan Ulu Muda di Kedah membekalkan air kepada sekitar 4.2 juta pengguna di tiga negeri.

Pulau Pinang, Kedah dan Perlis amat bergantung pada Sungai Muda, yang mengalir dari hutan simpan Ulu Muda untuk bekalan air mereka. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis alam sekitar memberi amaran aktiviti melombong elemen nadir bumi (REE) di Ulu Muda, Kedah akan membahayakan keselamatan bekalan air untuk berjuta-juta orang di negara ini.

Hutan simpan Ulu Muda seluas 160,000 hektar di Kedah berfungsi sebagai kawasan tadahan air yang penting di wilayah utara, menyediakan 96% air mentah di Kedah, 80% di Pulau Pinang dan 70% di Perlis, selain menampung keperluan sekitar 4.2 juta pengguna.

“Potensi (nilai) adalah sebanyak RM62 bilion, tetapi kita kena berhati-hati,” kata pengarah Pusat Alam Sekitar Global (GEC) Faizal Parish.

“Kalau mereka membenarkan aktiviti melombong di kawasan tadahan itu, ia akan menjejaskan bekalan air.

“Kita tahu wujud kebimbangan serius mengenai pembalakan di kawasan itu, tetapi pembalakan tidak mempunyai impak seperti perlombongan.”

Pada Rabu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat usaha sama yang berpangkalan di Kuala Lumpur untuk melombong REE yang dikatakan bernilai sehingga RM62 bilion di negeri itu.

Menyebut bahawa kewujudan REE di negeri itu diketahui oleh pakar geologi sejak “20 tahun lepas”, Sanusi berkata, galian yang ditemui di Sik, Ulu Muda dan Baling di Kedah itu “tidak radioaktif”.

Perjanjian dengan syarikat itu, dipercayai mempunyai rakan kongsi antarabangsa, akan membolehkannya mengekstrak galian tersebut.

Faizal Parish.

Mempersoalkan mengapa REE di negeri itu tidak pernah diekstrak sebelum ini, Faizal juga mahu kerajaan Kedah memperincikan mengenai lokasi tepat lombong yang berpotensi itu.

“Kita tahu terdapat banyak aktiviti pertanian dan hutan di Kedah. Jadi, di mana mereka akan melombong tanpa memberi kesan kepada alam sekitar?” soalnya.

“Kalau mereka kata ia di bawah sawah padi, adakah mereka akan gali? Apa yang akan berlaku ke atas penduduk di kawasan terbabit? ”

Pengumuman Sanusi berhubung perlombongan REE dibandingkan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, dekat Kuantan.

Kilang terbabit mencetuskan kontroversi isu alam sekitar berikutan kehadiran sisa radioaktif tahap rendah yang dihasilkan menyebabkan timbul banyak gesaan agar ia ditutup atas alasan kesihatan.

Tan Bun Teet, pengerusi kumpulan penyokong Save Malaysia, Stop Lynas berkata, Kedah perlukan masa bertahun-tahun untuk menjalankan penilaian impak alam sekitar sebelum membenarkan kilang pemprosesan nadir bumi dibina di negeri itu.

Mencadangkan agar sREE diproses di kilang Lynas, Tan berkata, kerajaan Kedah perlu memastikan terlebih dahulu berapa banyak REE boleh ditemui di negeri itu.

Walaupun REE terdapat di seluruh dunia, ia lazimnya ditemui dalam konsentrasi rendah, menjadikan kos perlombongannya memerlukan pelaburan tinggi yang mungkin tidak mampan dari segi ekonomi.

“Tidak semudah seperti kata menteri besar,” kata Tan kepada FMT.

“Beliau beri gambaran yang salah. Ia melucukan.

“Kita yakin Lynas tidak akan boleh bertahan di Gebeng pada 2023 (apabila lesen mereka tamat), jadi apa yang berlaku pada kilang yang sedia ada?

“Sudah tentu mereka akan menggunakan sepenuhnya. Itulah sebabnya ada usaha bersungguh-sungguh untuk mencari nadir bumi di Malaysia.”

Greenpeace Malaysia juga memberi amaran kepada kerajaan Kedah supaya berhati-hati dalam melombong nadir bumi di negeri itu, sekali gus mengingatkan tentang kejadian pencemaran kesihatan dan alam sekitar sebelum ini di Bukit Merah, Ipoh dan Kuantan.

Menyeru agar kerajaan Kedah menggariskan dasar industri nadir bumi dan kesannya terhadap alam sekitar, Greenpeace Malaysia berkata, negeri itu perlu bermula dengan rundingan awam – yang dituntut oleh undang-undang – dengan NGO, pakar alam sekitar dan kesihatan, serta masyarakat sebelum menjalankan usaha tersebut.

NGO alam sekitar juga menggesa kerajaan Kedah menimbangkan kesan jangka panjang dan kos kewangan atas sebarang kemungkinan kerosakan terhadap alam sekitar dan juga kesihatan rakyat di kawasan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.