P Pinang rayu tangguh setahun denda majikan gagal sedia asrama pekerja

P Pinang rayu tangguh setahun denda majikan gagal sedia asrama pekerja

Exco negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri mempunyai rancangan membina asrama sesuai untuk pekerja asing, tetapi ia tergendala susulan penularan Covid-19.

Dua daripada 6 asrama pekerja yang diluluskan kerajaan Pulau Pinang sudah siap dibina di Batu Maung dan Bukit Minyak. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang memohon moratorium setahun bagi denda terhadap majikan yang gagal menyediakan asrama pekerja asing, sebaliknya menempatkan mereka di perumahan biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, permintaan membenarkan pekerja asing tinggal di perumahan biasa itu merupakan langkah sementara untuk mereka berteduh, khasnya ketika negara dilanda Covid-19.

Di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dikuatkuasakan baru-baru ini, majikan gagal menyediakan perumahan sesuai untuk pekerja boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan.

Jagdeep berkata, kerajaan negeri sememangnya mempunyai rancangan membina asrama pekerja yang sesuai untuk penempatan pekerja asing, tetapi ia tergendala susulan penularan Covid-19.

“Setakat ini, kami mempunyai 6 asrama pekerja yang diluluskan dan 2 daripadanya siap dibina di Batu Maung dan Bukit Minyak.

“Malangnya, waktu itu Covid-19 melanda Malaysia dan memaksa kami berfikir di luar kotak dan menyusun semula strategi (berkaitan isu perumahan tersebut),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, isu perumahan pekerja asing merupakan masalah berterusan di negeri itu dan pihak berkuasa baru-baru ini mengesan kira-kira 30 pekerja asing tinggal dalam sebuah rumah.

Katanya, walaupun semua 6 asrama pekerja yang dirancang siap dibina kelak, ia masih tidak mencukupi untuk menampung 135,490 pekerja asing berdaftar yang memerlukan sekurang-kurangnya 20 asrama.

“Oleh itu, Pulau Pinang ingin meminta moratorium sekurang-kurangnya setahun atau lebih sehingga kita dapat mencari jalan penyelesaian untuk mencari tempat sesuai bagi melindungi pekerja asing dalam semua industri.”

Terdahulu, Jagdeep menyertai pemeriksaan tempat ujian saringan Covid-19 untuk pekerja asing di tapak pembinaan Queens Waterfront di seberang Queensbay Mall.

Ketua Pegawai Eksekutif Ideal Property Group, Ng Tyan Ping berkata, 350 pekerja asing di tapak pembinaan itu akan menjalani saringan Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.