
Ketua Pengarahnya Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya sentiasa membuat pemantauan dan melakukan risikan dalam setiap operasi dilaksanakan, termasuk mengambil tindakan segera membanteras petempatan haram itu berdasarkan laporan diterima, sama ada daripada orang awam atau agensi penguatkuasaan lain.
“Imigresen Sabah melaksanakan ‘Op Sapu’, iaitu operasi pemeriksaan dokumentasi dengan sasaran utama rumah setinggan, rumah kongsi, rumah sewa, rumah tumpangan, pengemis asing dan rumah ibadat.
“Pemeriksaan dokumen itu termasuk di kawasan kediaman bukan sahaja semasa wabak Covid-19 pada masa ini, malah operasi ini juga dilaksana pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya baru-baru ini.
Khairul Dzaimee berkata, pihaknya menjalankan 371 operasi tahun lepas dengan 1,300 migran ditahan, manakala pada tahun ini lebih 120 operasi dilakukan dengan lebih 500 pendatang asing ditahan.
Beliau berkata, pihaknya sering menerima aduan berkaitan petempatan warga asing itu, namun apabila pemeriksaan dijalankan ia mendapati tempat terbabit merupakan kediaman pekerja asing.
“Sebagai contoh di kawasan Selangor, di Sungai Buloh, ada dakwaan terdapat petempatan haram migran di sana, namun sebenarnya ia kediaman pekerja industri (pembinaan).
“Berhubung dakwaan itu, Imigresen Sabah sentiasa melakukan pemantauan dan risikan di setiap pinggiran bandar berdasarkan laporan diterima daripada orang awam serta agensi kerajaan lain berhubung petempatan haram migran ini agar dapat dibanteras,” katanya.
Menurut Khairul Dzaimee, pada awal tahun ini, pihaknya melaksanakan Op Sapu di kawasan setinggan Kampung Numbak dan Kampung Selamat Bahagia di kawasan pinggiran bandar di Kota Kinabalu, Sabah.
“Ratusan warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dan tidak dinafikan petempatan setinggan warga asing ini memang wujud, malah kebanyakan warga asing di situ memiliki dokumen pelarian yang sah dan mereka berkahwin dengan warganegara,” katanya.
Beliau berkata Imigresen Sabah juga sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras petempatan migran di pinggiran bandar di seluruh negeri berkenaan.