
Pemangku pengerusinya, James Jemut Masing berkata, permohonan Sng tidak lengkap kerana tidak mengemukakan keputusan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).
Katanya, Ahli Parlimen itu juga di bawah senarai perkhidmatan penting yang mengecuali beliau daripada kuarantin dengan syarat.
“JPBNS menguatkuasakan dan mewajibkan mereka yang ingin memasuki Sarawak untuk memohon menerusi EnterSarawak dan Pengisytiharan E-Kesihatan untuk melindungi negeri ini semasa pandemik Covid-19.
“Bagi Ahli Parlimen yang menghadiri persidangan Parlimen, SOP khas untuk mengecualikan mereka daripada kuarantin dilaksanakan bagi membolehkan mereka berkhidmat kepada rakyat di kawasan pilihan raya masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Masing berkata, di bawah pengecualian perkhidmatan penting, Ahli Parlimen harus menjalani ujian RT-PCR Covid-19 dan mendapatkan keputusan negatif, melampirkan surat kerja rasmi serta pengenalan diri untuk melengkapkan proses permohonan.
“JPBNS telah menyiasat permohonan Sng dan mendapati permohonan beliau sebanyak lima kali dengan tiga daripadanya ditolak kerana dokumen tidak lengkap, sementara pada waktu lain, sistem meluluskan permohonannya dengan syarat menjalani kuarantin dan bukan untuk pengecualian kerana tidak disertakan keputusan ujian RT-PCR.”
Katanya, Sng hanya melampir dan menyerahkan keputusan ujian RT-PCR serta melengkapkan dokumentasi yang diperlukan pada percubaan kelima.
Mengikut prosedur seperti dilakukan rakannya, Masing berkata, Sng memang diberikan kelulusan untuk masuk ke Sarawak dengan pengecualian daripada kuarantin.
Katanya, adalah penting untuk semua orang memeriksa permohonan dan melihat maklum balas pentadbir berhubung status permohonan mereka.
Orang ramai boleh menghubungi hotline JPBNS atau Facebook Maklumat Bencana Sarawak untuk bertanya mengenai permohonan mereka.
Terdahulu, Sng menerusi Facebooknya menyuarakan kekecewaan apabila tiga permohonan untuk kembali ke Sarawak selepas sidang Parlimen ditolak JPBNS.