Amanah gesa Umno kemuka usul percaya terhadap MB Johor

Amanah gesa Umno kemuka usul percaya terhadap MB Johor

Timbalan presiden Amanah berkata, usul undi percaya itu perlu dilakukan esok yang merupakan hari terakhir DUN Johor bersidang, sebelum meluluskan belanjawan negeri 2021.

Salahuddin Ayub berkata, tindakan itu penting supaya rakyat dapat melihat adakah kerajaan Johor pimpinan Hasni Mohammad dari Umno turut memiliki keabsahan untuk mentadbir negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Amanah menggesa Umno turut mengemukakan usul percaya terhadap Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad di Dewan Undangan Negeri seperti yang dilakukan Adun Pengkalan Baru, Abd Manaf Hashim kepada Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, tindakan itu penting supaya rakyat dapat melihat adakah kerajaan Johor pimpinan Hasni turut memiliki keabsahan untuk mentadbir negeri berkenaan.

“Elok sekiranya Umno mengemukakan usul undi percaya kepada kepimpinan menteri besar Johor untuk membuktikan kerajaan negeri ini benar-benar dapat bertahan dan bermaruah untuk terus mentadbir negeri.

“Usul percaya ini akan dapat membuktikan keabsahan dokongan dan sokongan wakil-wakil PPBM masih kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pentadbiran Faizal, yang juga timbalan presiden PPBM, tumbang selepas beliau hilang sokongan majoriti wakil rakyat di DUN Perak semalam, apabila usul undi percaya dibentangkan untuk undian belah bahagi.

Seramai 48 Adun tidak menyokong berbanding 10 Adun menyokong dan 1 undi rosak.

Terdahulu, Naib Presiden PPBM, Mohd Rafiq Naizamohideen dilaporkan berkata, beliau bimbang kejatuhan kerajaan PN di Perak pimpinan partinya boleh berlaku di negeri lain, contohnya Johor sekiranya PPBM menarik balik sokongan mereka kepada menteri besar daripada Umno itu.

Ketika ini, BN mempunyai 16 kerusi di DUN Johor, PN (13) dan Pakatan Harapan (27).

Hari ini, Salahuddin berkata, usul undi percaya itu perlu dilakukan esok yang merupakan hari terakhir DUN Johor bersidang, sebelum meluluskan belanjawan negeri 2021.

“Besar kemungkinan sesuatu yang penting akan berlaku esok semasa hari terakhir sesi penggulungan belanjawan negeri yang mungkin memanaskan lagi suhu politik kerajaan PN di Johor.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.