
Annuar berkata, beliau tidak gembira dengan situasi yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Perak hari ini, merujuk tindakan 24 daripada 25 Adun Umno senada dengan Adun Pakatan Harapan menolak kepimpinan Faizal.
Undian belah bahagi itu memaksa Faizal meletak jawatan dan berkemungkinan di ganti dengan calon Umno yang mempunyai jumlah Adun paling ramai.
“Sejujurnya, saya tidak gembira dengan apa yang berlaku di Perak. Kita tidak berpeluang berbincang terlebih awal di peringkat biro politik atau majlis kerja tertinggi,” kata Annuar di Twitter.
“Saya berdoa agar perjuangan yang seharusnya mengutamakan solidariti dan perpaduan ummah tidak terjejas. Saya dukacita jika orang Melayu berpecah,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam mesej Twitternya kepada Annuar, berkata tidak timbul soal parti itu memilih antara Umno atau PPBM.
Yang pokok bagi PAS adalah perpaduan antara tiga parti itu menerusi Muafakat Nasional, (MN), kata Takiyuddin.
“Bukan kita lebih menyayangi salah satu dari anda, tetapi kami lebih mencintai kesatuan kita. Annuar, marilah kita berkongsi “hari air mata” pada 14 Sept tahun lalu,” katanya.
14 Sept merujuk kepada hari bersejarah bagi Umno dan PAS, parti Islam terbesar di dalam negara membentuk MN.