
Kumpulan itu mengecam serangan tersebut dan menyifatkan komen Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang bahawa mereka dalam klip video itu hanya “bertindak sedikit di luar batas” sebagai “dikesali”.
Dalam satu kenyataan, LFL berkata, seorang pegawai tinggi tidak boleh “meremehkan” perbuatan yang diperlihatkan dalam video itu.
Ia berkata, dakwaan sedemikian bukan perkara baru, sekali gus mendesak kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan supaya mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan salah terhadap pekerja migran.
“Kebimbangan serupa telah berulang kali ditimbulkan oleh beberapa pertubuhan masyarakat sivil, bahkan oleh media antarabangsa.
“Video yang kini mendapat perhatian umum berperanan sebagai bukti kukuh bahawa tuduhan itu bukan tidak berasas.
“Budaya tidak menghormati undang-undang dalam kalangan badan penguat kuasa adalah masalah serius yang menjadi lebih jelas semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“SOP yang tidak jelas menyebabkan penyalahgunaan kuasa oleh anggota penguat kuasa yang secara sewenang-wenang dan tidak konsisten melaksanakan peraturan dan undang-undang yang dilaksanakan semasa PKP.
“Serangan dan penganiayaan terhadap pekerja migran adalah satu lagi contoh penyalahgunaan kuasa itu, ” katanya.
LFL berkata, pihak berkuasa harus memastikan tidak pihak yang akan mengalami ancaman fizikal kerana melanggar SOP.
“Tugas mereka adalah melindungi orang ramai, termasuk pendatang dan pelarian, daripada penularan wabak Covid-19. Mereka mesti melaksanakannya dalam had undang-undang, ” katanya.