
ADUN Paloh Sheikh Omar Ali berkata, Umno ketika ini mempunyai 14 kerusi DUN, manakala PH Johor pula mempunyai 27 kerusi dan jika bergabung, blok parti itu akan memiliki 41 jumlah kerusi secara keseluruhan.
“Jumlah ini jauh lebih besar berbanding sekarang ini, 41 kerusi DUN membentuk majoriti dua pertiga DUN Johor. Kedudukan ini sangat stabil dan meyakinkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketika ini, Umno Johor memiliki 14 kerusi DUN, PPBM (12), MIC (2) dan PAS (1). Manakala, PH pula memiliki 27 kerusi, perbezaan dua kerusi jika dibandingkan dengan blok Perikatan Nasional (PN).
Sheikh Omar berkata, perbezaan antara Johor dan Perak hanya menteri besarnya, apabila menteri besar Johor dari Umno manakala menteri besar Perak dari PPBM.
“Soal bersetuju atau tidak, itu perkara lain. Tetapi dari segi angka, ya. Memang jika Umno dan PH bekerjasama di Johor, ia akan mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan negeri,” katanya.
Hari ini, pentadbiran Ahmad Faizal Azumu yang juga timbalan presiden PPBM, tumbang selepas beliau hilang sokongan majoriti wakil rakyat di DUN, apabila usul undi percaya dibentangkan untuk undian belah bahagi pagi tadi.
Seramai 48 ADUN tidak menyokong berbanding 10 yang menyokong dan 1 undi rosak.