Tak boleh melombong nadir bumi tanpa kelulusan teknikal, kata menteri

Tak boleh melombong nadir bumi tanpa kelulusan teknikal, kata menteri

Semalam, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor semalam berkata Kedah mempunyai unsur nadir bumi mungkin bernilai RM62 bilion.

Shamsul Anuar Nasarah.
PETALING JAYA:
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) menegaskan kerajaan tidak akan membenarkan sebarang aktiviti perlombongan sumber mineral di kawasan hutan simpan kekal tanpa sebarang kelulusan teknikal.

Menterinya, Shamsul Anuar Nasarah berkata ia bagi mengelakkan insiden pencemaran yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kesihatan masyarakat.

“Walaupun pengeluaran permit untuk penerokaan mineral terletak di bawah kuasa kerajaan negeri, proses saringan dan tapisan perlu dijalankan bagi memastikan semua syarat dipatuhi sebelum kelulusan diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dari segi dasar pula, menteri memaklumkan dasar berkaitan pembangunan industri mineral akan diselaraskan Putrajaya menerusi Majlis Mineral Negara yang diaktifkan semula, dengan penglibatan kerajaan negeri.

“Mesyuarat pertama MMN dijangka diadakan pada penghujung Disember ini.”

Dari segi prosedur, Shamsul berkata kementerian sedang menyediakan SOP untuk perlombongan unsur nadir bumi, bagi memastikan inisiatif perlombongan secara mampan, yang akan dimuktamadkan selepas rundingan dengan agensi persekutuan, kerajaan negeri, wakil industri dan NGO.

SOP itu merangkumi “keseluruhan rantaian nilai daripada perlombongan hingga pengurusan sisa dan penutupan lombong secara progresif”.

“Juga perlu disokong dengan perundangan lain yang berkaitan iaitu Akta Pembangunan Mineral, Akta Penyiasatan Kajibumi, Akta Kualiti Alam Sekeliling, serta Enakmen Mineral Negeri-negeri.”

Kedah semalam mengumumkan ia menandatangani satu perjanjian dengan sebuah syarikat usaha sama berpangkalan di Kuala Lumpur untuk melombong REE yang dikatakan banyak ditemui di negeri itu.

Perjanjian dengan syarikat itu, dipercayai mempunyai rakan kongsi antarabangsa, akan membolehkannya ia mengekstrak mineral yang disebut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mungkin bernilai sehingga RM62 bilion.

Sanusi berkata, perjanjian antara kerajaan negeri dan syarikat itu ditandatangani minggu lalu, tetapi beliau enggan menamakan mineral itu atau nama syarikat terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.