Speaker Dewan Rakyat arah Shabudin beri penjelasan isu salah kira undi

Speaker Dewan Rakyat arah Shabudin beri penjelasan isu salah kira undi

Sebelum ini, Dewan Rakyat kecoh selepas Ahli Parlimen diberitahu berlaku kesilapan dalam pengiraan undian belah bahagi bagi peruntukan Kementerian Kewangan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya memaklumkan beliau tidak berniat menipu Dewan Rakyat dan sudah memohon maaf. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengarahkan Shabudin Yahaya (PN-Tasek Gelugor) memberikan penjelasan berhubung isu salah kira ketika undian belah bahagi dilakukan sebelum ini.

Azhar dalam surat ditujukan kepada timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tuntutan penjelasan dibuat selepas Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengemukakan surat bertarikh 1 Disember untuk merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat.

“Dalam hal ini Yang Berhormat Lembah Pantai beranggapan kejadian tersebut sebagai tindakan yang menghina Dewan Rakyat bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12).

“Oleh yang demikian, dipohon agar Yang Berhormat (Shabudin) dapat memberikan penjelasan mengenai perkara ini dan menyertakan bukti atau dokumen yang menyokong penjelasan tersebut,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Dewan Rakyat kecoh selepas Ahli Parlimen diberitahu berlaku kesilapan dalam pengiraan undian belah bahagi bagi peruntukan Kementerian Kewangan.

Kekecohan berlaku apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon dimaklumkan Shabudin yang beliau tersilap memasukkan seorang Ahli Parlimen Umno dalam senarai menyokong peruntukan Kementerian Kewangan di peringkat jawatankuasa.

Rashid berkata, Shabudin sudah memaklumkan speaker yang beliau tersilap memasukkan Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) yang tiada dalam Dewan ketika undian diadakan, ke dalam senarai itu.

Shabudin ketika itu berkata, beliau tidak berniat menipu Dewan Rakyat dan sudah memohon maaf.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.