Kerajaan dengar suara rakyat, buat perubahan Belanjawan 2021, kata Tengku Zafrul

Kerajaan dengar suara rakyat, buat perubahan Belanjawan 2021, kata Tengku Zafrul

Kelulusan peringkat dasar Belanjawan 2021 membuktikan kerajaan mendengar suara rakyat dalam merangka belanjawan mengutamakan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan sentiasa peka dan mendengar suara rakyat serta perlu menjamin kestabilan ekonomi dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kelulusan peringkat dasar Belanjawan 2021 di Parlimen pada 26 November lalu sekali gus membuktikan kerajaan mendengar suara rakyat dan Ahli Parlimen dalam merangka belanjawan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

“Saya berharap pengumuman dan komitmen tambahan ini mampu merealisasikan Belanjawan 2021 sebagai belanjawan untuk rakyat.

“Memang terdapat sedikit kekangan dalam melaksanakan semua cadangan yang dibangkitkan, seiring peranan dan tanggungjawab kerajaan, iaitu untuk mengimbangi kepentingan jangka masa pendek dan panjang,” katanya dalam laporan Laksana ke-31 pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi Prihatin Rakyat, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara dan pakej rangsangan ekonomi Kita Prihatin, hari ini.

Beliau berkata, ini termasuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan tanpa melupakan tanggungjawab amalan disiplin fiskal yang baik bagi kemampanan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

“Namun, apabila berbangkitnya pertembungan antara kepentingan-kepentingan ini, kerajaan tidak akan berkompromi dalam mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya.

Katanya, setakat 20 November sebanyak RM211.3 juta disalurkan kepada perusahaan kecil dan sederhana, merangkumi bidang peruncitan dan perkhidmatan.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata dalam memastikan sektor pelancongan dan perhotelan dapat bertahan dan kembali pulih seperti sediakala, kerajaan bersetuju memberikan lanjutan pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan dikendalikan oleh pengendali premis penginapan mulai 1 September hingga 30 Jun 2021 membabitkan pengecualian sebanyak RM727.4 juta.

Mengenai Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0), sebanyak RM7 bilion diperuntukkan bertujuan meringankan beban 7.5 juta penerima B40 serta 3.1 juta penerima M40 melalui pemberian bantuan tunai secara “one-off”.

“Setakat ini, pembayaran fasa pertama sejumlah RM4.5 bilion berjaya disalurkan kepada lebih 9.86 juta penerima, merangkumi 7 juta penerima daripada kategori B40 dan 2.86 juta penerima daripada kategori M40,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.