
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, sokongan kedua-dua pihak perlu untuk memberi kemenangan di kerusi yang merupakan kubu kuat parti itu.
“Memandangkan ketika ini kita menghadapi pandemik Covid-19, seharusnya semua pihak, termasuk pembangkang mengelakkan pertandingan dalam pilihan raya kecil tersebut, sekali gus memberi kemenangan kepada calon Umno,” katanya kepada pemberita dalam program Ziarah Kasih di sekitar Bagan Datuk hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Gerik diadakan pada 16 Jan 2021 berikutan kematian penyandangnya Hasbullah Osman pada 16 Nov lepas akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Hasbullah menewaskan Norhayati Kasim daripada PAS dengan majoriti 6,216 undi serta mempertahankan kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 5,528 undi mengalahkan calon PAS Mohd Dahalan Ismail dan calon PPBM Ibrahim Mohd Hanafiah.
Mengenai calon yang akan bertanding, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pihaknya akan meletakkan calon tempatan kerana lebih mengenali dan memahami permasalahan setempat serta kehidupan masyarakat di kawasan berkenaan.
Zahid berkata beliau menyerahkan kepada pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Saarani Mohamad untuk mengadakan perbincangan secara terperinci dengan Umno Bahagian Gerik mengenai individu yang sesuai diletakkan sebagai calon PRK Parlimen Gerik.
Menyentuh kemungkinan PRK Parlimen Gerik ditangguh sekiranya diisytiharkan darurat seperti kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah, Zahid berkata, ia tidak mungkin berlaku kerana Gerik berada dalam zon hijau.