Ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing dilaksana bermula 1 Dis

Ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing dilaksana bermula 1 Dis

Guru muzik, al-Quran dibenar adakan kelas ‘one-to-one’.

Pelaksanaan ujian saringan Covid-19 ke atas semua pekerja asing di negara ini bakal dimulakan di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Labuan 1 Dis ini sebelum diperluaskan ke negeri lain.
PETALING JAYA:
Ujian saringan Covid-19 menggunakan kaedah RTK Antigen akan dilaksanakan secara berperingkat ke atas semua pekerja asing di negara ini mulai 1 Dis, kata kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, bagi peringkat awal program ini akan menumpukan di beberapa negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Labuan sebelum diperluaskan ke negeri lain.

Menyentuh mengenai mekanisme pelaksanaan ujian itu, beliau berkata, majikan perlu mengatur temu janji dengan fasiliti kesihatan swasta bagi menjalani ujian itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kos perkhidmatan klinik/hospital perlu dibayar oleh majikan, sementara kos kit ujian sebanyak RM60 ditanggung PERKESO untuk ujian pertama kali sahaja,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara hari ini turut bersetuju membenarkan guru muzik dan Al-Quran mengadakan kelas secara perseorangan bermula esok.

“Perkara ini ada dibangkitkan dalam mesyuarat hari ini dan kita sebenarnya membenarkan guru muzik dan juga guru Al-Quran menjalankan kelas perseorangan,” katanya sambil menambah bahawa MKN turut menimbangkan untuk memperluaskan kategori itu kepada guru tuisyen secara perseorangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.