
Hanipa berkata, tidak timbul soal sama ada menjadi hero atau wira, seperti dibangkitkan pihak tertentu selepas undi belah bahagi itu gagal diperoleh, semalam.
“Ya benar anda semua berhak dan kecewa, anda tidak salah untuk marah dan kecewa. Kami boleh hargai kemarahan dan kekecewaan yang teramat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di peringkat dasar melalui undian suara, selepas sebahagian besar Ahli Parlimen, termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undi belah bahagi.
Hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun menyokong cadangan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) untuk undi belah bahagi diadakan berbanding syarat minimum 15 Ahli Parlimen untuk menyokong cadangan itu.
Hanipa berkata, sebagai seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH), beliau sendiri menerima kecaman pedas daripada isteri dan anak-anaknya sebaik sahaja berada di rumah.
“Berpesta mereka kritik dengan pedas. Saya tidak marah dan hanya boleh senyum dan ketawa dalam duka. Saya tahu mereka amat kecewa kerana saya juga kecewa.
“Bayangkan tahap kemarahan mereka jika suami atau bapa mereka tidak termasuk dalam 13 Ahli Parlimen yang bangun itu,” katanya.
Katanya, presiden dan timbalan presiden Amanah turut berhasrat untuk bangun namun membatalkannya kerana menghormati saranan ketua pembangkang.
“Ya, saya percaya mereka lakukan itu atas semangat kesatuan dan perpaduan PH. Tetapi mereka menjadi sasaran yang teruk dikritik. Saya amat bersimpati dengan mereka, menjadi seorang pemimpin, itulah nilai yang anda perlu bayar,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Whip DAP Loke Siew Fook turut memohon maaf dan akan mengambil tanggungjawab penuh kerana mengarahkan Ahli Parlimen partinya tidak bangun meminta undi belah bahagi bagi menolak Belanjawan 2021 di peringkat dasar semalam. Katanya, arahan itu dibuat selepas menerima mesej daripada ketua pembangkang.