
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, eksport mencecah RM91.05 bilion pada Okt 2020, naik 0.2% berbanding Okt 2019 dan merupakan nilai eksport ketiga tertinggi direkodkan setakat ini.
“Peningkatan ini disokong oleh kenaikan eksport ke Amerika Syarikat (AS), China, India dan United Kingdom,” katanya dalam satu kenyataan.
MITI menambah import berjumlah RM68.93 bilion, berkurangan 6%, manakala jumlah perdagangan bernilai RM159.98 bilion, menyusut 2.5%.
Berbanding Sept 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang 2.6%, 2.4% dan 2.9% sementara lebihan dagangan meningkat sebanyak 0.8%.
MITI menjelaskan barangan perkilangan dan keluaran pertanian menyumbang kepada pertumbuhan eksport pada Okt 2020.
“Eksport barangan perkilangan pada Okt 2020 yang merangkumi 87.8% daripada jumlah eksport, berkembang 2.5% tahun ke tahun kepada RM79.94 bilion, disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport keluaran getah serta barangan elektrikal dan elektronik (E&E),” katanya.
Eksport keluaran pertanian melonjak 28.7% kepada RM7.17 bilion berbanding Okt 2019 disokong, terutamanya oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Selain itu, perdagangan dengan Asean pada Okt 2020 yang merangkumi RM41.15 bilion atau 25.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia, menyusut 10.4% berbanding Okt 2019.
“Eksport menyusut 3.6% kepada RM25.73 bilion disebabkan oleh penurunan eksport petroleum mentah, keluaran petroleum dan barangan perkilangan logam.
“Pengurangan ini bagaimanapun diimbangi oleh kenaikan eksport barangan E&E yang berkembang sebanyak 18.5% atau RM1.77 bilion,” katanya.
Eksport ke China pula berkembang 4.9% kepada RM14.27 bilion, terutamanya berikutan kenaikan eksport barangan E&E, barangan besi dan keluli, barangan perkilangan lain (SSD), barangan perkilangan logam serta keluaran getah.
Sementara itu, eksport AS merekodkan pertumbuhan dua digit selama lima bulan berturut-turut, berkembang sebanyak 25.6% kepada RM11.23 bilion pada Okt 2020.
Ia menambah eksport ke Kesatuan Eropah terus mencatatkan kenaikan bagi dua bulan berturut-turut, mengukuh 4.7% kepada RM7.77 bilion disokong oleh kenaikan eksport keluaran getah serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Eksport barangan perkilangan ke Jepun mencatatkan peningkatan sebanyak 6.9% kepada RM4.04 bilion disumbangkan oleh kenaikan eksport keluaran getah, keluaran petroleum serta barangan E&E.
“Eksport ke negara rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bernilai RM60.68 bilion, menyusut 2.4%, manakala import menguncup 9.2% kepada RM44.43 bilion,” katanya.
Dalam pada itu, import pada bulan Okt 2020 turun 6.0% tahun ke tahun kepada RM68.93 bilion berbanding RM73.29 bilion pada Okt 2019.