
Peningkatan kes Covid-19 yang berkait dengan tapak pembinaan dan kilang menarik perhatian masyarakat berhubung keadaan sesak yang dilalui pekerja asing.
FMT sebelum ini melaporkan bahawa menjadi kebiasaan sebilangan pekerja tinggal dalam kontainer.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob semalam berkata Kementerian Sumber Manusia akan mula menguatkuasakan pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) hari ini, tetapi Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata, usaha untuk menambah baik perumahan pekerja asing harus menjadi keutamaan “dari awal lagi”.
“Seperti biasa, ia adalah respons yang reaktif, bukan proaktif. Ia adalah kebiasaan dan ia adalah kesilapan kerajaan,” katanya kepada FMT.
“Anda tidak boleh meletakkan sekumpulan orang dalam satu bilik kecil. Majikan tidak mahu berbelanja, jadi mereka meletakkan pekerja dalam satu bilik.
“Kita tahu bahawa berada dalam jarak yang dekat akan membantu menyebar penyakit dan ia adalah sebab kenapa kita perlu mengekalkan jarak 2m (dalam amalan penjarakan fizikal).”
Pindaan akta berkenaan mula berkuatkuasa pada 1 Jun dan menetapkan keperluan ruang minimum berhubung tempat tinggal pekerja, prasarana asas serta standard keselamatan dan kebersihan.
Majikan diberi tempoh sehingga 31 Ogos untuk mematuhi syarat yang ditetapkan, dengan Kementerian Sumber Manusia sebelum ini berkata, ia akan mula menguatkuasakan akta berkenaan pada 1 Sept.
Pakar strategi DAP Liew Chin Tong berkata, memandangkan asrama pekerja dikenal pasti sebagai salah satu sumber penularan dan jangkitan, ia menjadi salah satu isu utama yang mesti diteliti oleh kerajaan.
Beliau berkata, organisasi yang menggaji pekerja asing mesti memastikan bahawa perumahan yang disediakan memenuhi standard kesihatan dan spesifikasi, dengan bilik dan tempat tinggal mengambil kira faktor ruang, reka bentuk, kemudahan dan perkiraan respons terhadap penyakit.
“Tanpa penambahbaikan ini, tempat tinggal bagi golongan yang berisiko ini akan terus menjadi ‘titi panas’ yang berulang kepada jangkitan virus dan menjurus kepada penularan Covid-19 yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan.
“Kita mesti bertindak bagi melindungi golongan yang paling lemah dalam masyarakat kita, termasuk pekerja asing.
“Kita perlu melihat semula secara serius bagaimana kita melayan mereka dan memikir semula keadaan pekerjaan dan kehidupan mereka.”
Merujuk kepada kluster Teratai di Meru, Klang yang berkait dengan pekerja asing di syarikat pengeluar sarung tangan perubatan terbesar di dunia Top Glove yang kini menjadi kluster aktif Covid-19 di Malaysia, Liew berkata, ia harus dijadikan “peringatan” oleh pemain industri dan rakyat Malaysia amnya.
Tujuh belas kes baru dilaporkan daripada kluster Teratai semalam, yang kini mencatatkan 4,063 kes.
Kluster tapak pembinaan Damanlela, yang juga berkait dengan pekerja asing, mencatatkan 12 kes baru semalam dan kini mempunyai 1,221 kes.
Semalam Menteri Sumber Manusia M Saravanan dilaporkan berkata pemeriksaan ke atas kilang Top Glove di Meru mendedahkan keadaan tempat tinggal pekerja yang “mengerikan” dan “seluruh Jabatan Tenaga Kerja” dikerah untuk menjalankan pemeriksaan lebih lanjut.
Pengarah eksekutif syarikat tersebut Lim Cheong Guan berkata, beliau terkejut dengan kenyataan berkenaan kerana menteri itu sebelum ini berkata, asrama berada dalam keadaan baik semasa lawatannya baru-baru ini.
Beliau menambah bahawa syarikat itu sedang mendapatkan penjelasan daripada kementerian berkenaan.
Ismail semalam mengesahkan 27 daripada 28 kilang syarikat tersebut di Meru ditutup sementara oleh kerajaan bagi membolehkan pekerja kilang menjalani saringan dan kuarantin mandatori.
Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani memberitahu FMT minggu lalu bahawa berdasarkan pemerhatian pertubuhan itu, kebanyakan pekerja asing tidak menyedari hak asasi mereka dan kaedah yang boleh digunakan untuk membuat aduan berhubung keadaan perumahan yang buruk.
“Mereka biasa akan melihatnya sebagai nasib dan membiarkannya,” katanya.
“Ia membolehkan majikan melepaskan diri daripada kecuaian mereka.”