
Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican berkata, menekan butang “pause” untuk industri sukan adalah satu isyarat tidak tepat.
“Secara peribadi, saya harap aktiviti sukan masih perlu diteruskan. Sebab itu, semua pemegang taruh dalam industri sukan sedang mengusahakan model ‘gelembung sukan’ yang akan dikemukan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak lama lagi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang mahu tahu nasib industri bola sepak mungkin akan terkubur ekoran hilang tajaan kerana aksi Liga Malaysia ditangguhkan seketika.
“Kita akui perkara itu, sebab itu saya sebagai menteri akan perjuangkan, pada 2021 nanti semua aktiviti sukan tetap dapat diteruskan dan saya akan yakinkan MKN dengan model yang akan diperkenalkan ini,” kata Reezal Merican.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kerisauan terhadap masa depan industri bola sepak sekiranya perlawanan saingan Piala Malaysia ditangguhkan dalam tempoh lama.
“Setiap perlawanan seramai tujuh hingga lapan juta penonton, bayangkan jika ini tidak berlaku tentunya industri ini akan hilang nilai komersial.
“Syarikat penyiaran juga akan tertekan kerana hilang kandungan untuk disiarkan,” katanya.
Beliau berkata, kementerian juga akan mempertimbangkan mekanisme digunakan negara luar dalam kejohanan besar antaranya menggunakan kaedah “RTK Antigen” yang mana keputusan ujian Covid-19 boleh diperoleh dalam tempoh seminit menerusi semburan nafas.
“Konsep yang ditekankan dalam ujian ini adalah anda jalani ujian anda boleh lihat, anda jalani ujian anda boleh terbang,” katanya.
Pada 9 November lalu, MKN bersama Kementerian Kesihatan memutuskan kempen Piala Malaysia ditangguhkan buat seketika susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di beberapa negeri.