
Presidennya, Macky Joseph berkata, Kementerian Pendidikan perlu menubuhkan sebuah “kumpulan pemikir” untuk tampil dengan kaedah inovatif bagi menyampaikan perkhidmatan pendidikan kepada pelajar di bawah norma baru, khasnya di kawasan terpencil Sarawak.
“Kita perlu menyediakan akses internet percuma untuk membolehkan semua pelajar, di luar bandar dan bandar, menghadiri kelas dalam talian kerana tiada anak patut ketinggalan dalam pendidikan mereka,” katanya kepada FMT.
Kenyataannya menyusul laporan seorang guru di Lubok Antu, yang membawa anak di rumah panjangnya berjalan 3 jam untuk mendapatkan isyarat internet demi meneruskan pelajaran mereka.

Joseph berkata, walaupun sekolah ditutup, pembelajaran di rumah diteruskan, di mana guru perlu mengadakan kelas dalam talian.
Walaupun ramai guru berusaha membantu pelajar tanpa akses internet, katanya, pihak berkaitan perlu bertindak segera untuk menyelesaikan isu pembelajaran dalam talian, khasnya bagi mereka yang tinggal di rumah panjang atau perkampungan luar bandar di Sarawak.
Persatuan Wanita Kenyah Uma Baha Sibu berkata, kanak-kanak yang tinggal di rumah panjang dan perkampungan luar bandar akan ketinggalan kerana sekolah terus ditutup.
Ketuanya, Umie Liau berkata, kebanyakan kanak-kanak di luar bandar tidak mempunyai akses internet di rumah atau peranti elektronik untuk meneruskan pelajaran mereka melalui pembelajaran dalam talian.
“Kebanyakan kawasan luar bandar sama ada mempunyai sambungan internet teruk atau langsung tiada. Selain itu, ibu bapa mereka kebanyakan petani kecil dan pekerja tidak formal yang tidak mampu menyediakan peranti untuk anak mereka belajar dalam talian.

“(Malah sebelum pandemik) pendapatan mereka sekadar cukup untuk keperluan asas. Mereka tidak akan mampu menyediakan peranti untuk anak mereka pada waktu sukar ini.
“Ini menyedihkan, tetapi benar bagi kebanyakan ibu bapa di kawasan luar bandar atau rumah panjang Sarawak.”
Umie menggesa kerajaan pusat dan negeri segera menangani isu ini, “jika tidak, kanak-kanak luar bandar ini akan ketinggalan dalam pelajaran mereka berbanding mereka yang mempunyai kelebihan untuk belajar dalam talian”.