
Katanya, ketika ini SIP yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menggunakan kaedah 80% daripada gaji siling RM4,000 pada bulan pertama, kemudian 50% pada bulan kedua, seterusnya 40% pada bulan ketiga dan keempat serta 30% bagi baki 2 bulan berikutnya.
Beliau mengulas saranan Charles Anthony Santiago (DAP-Klang) yang mahu kerajaan mempertimbangkan format baharu bagi bayaran elaun SIP kepada 80% selama setahun.
“Apa kata kerajaan sekarang tukar format bayaran elauan SIP seperti mana di negara lain iaitu 80% bagi tempoh setahun.
“Ini kerana kebanyakan pekerja didapati susah untuk mendapat kerja dalam tempoh 6 bulan hingga 8 bulan pertama. Jadi 80% elaun ini dapat membantu ketua keluarga yang hilang punca pendapatan menyara kehidupan keluarga,” katanya ketika mencelah pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengenai pekerja di sektor penerbangan, perhotelan dan pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, Saravanan berkata seramai 40,766 pekerja dalam sektor berkenaan mendaftar dengan SIP dan sebanyak RM110 juta diluluskan untuk pembayaran.
“Mengenai isu Malindo Airways pula, seramai 1,086 pekerja sudah mengemukakan permohonan mendapatkan bantuan faedah SIP dan daripada jumlah itu seramai 749 penerima sudah terima bantuan membabitkan jumlah RM928,000, selebihnya sedang dalam proses tindakan Perkeso,” katanya.
Beliau turut menegaskan, jika terdapat sebarang kegagalan pembayaran mengenai faedah SIP, aduan boleh diajukan terus kepada pihak kementerian untuk tindakan susulan.
“Jika terdapat sebarang kes kegagalan pembayaran, jumpa terus dengan saya supaya tindakan sewajarnya diambil,” katanya.