Jual beli ‘tak jelas’ tanah serata dunia membimbangkan, kata NGO

Jual beli ‘tak jelas’ tanah serata dunia membimbangkan, kata NGO

The International Land Coalition bimbang akan kurangnya ketelusan dalam jual beli tanah rentas sempadan membabitkan entiti kaya.

PETALING JAYA:
Entiti kaya dari negara-negara ekonomi kuat sedang melabur di tanah serata dunia pada kadar yang membimbangkan menerusi urusan jual beli tanah yang tidak telus, kata sebuah NGO antarabangsa.

International Land Coalition (ILC) berkata pemilikan tanah rentas sempadan secara tersusun, terutama di negara-negara kurang membangun, semakin menjadi-jadi dengan penggunaan pelbagai instrumen korporat untuk mengelak kebertanggungjawaban.

“Kurangnya ketelusan sekitar pelaburan tanah konsisten dengan meningkatnya penggunaan struktur korporat yang kompleks, pegangan saham bersilang, dan minat pasaran kewangan terhadap tanah,” kata ILC.

Katanya, fenomena ini memburukkan lagi masalah ketaksamaan tanah ke paras “yang lebih teruk daripada yang disangkakan”.

NGO berpangkalan di Eropah itu berkata sebahagian besar 608 juta tanah di serata dunia – kebanyakannya milik keluarga – kini dijalankan oleh beberapa entiti perladangan.

“Ladang 1% terbesar menjalankan lebih 70% tanah ladang dunia manakala lebih 80% adalah kebun kecil dengan keluasan kurang daripada 2 hektar yang umummnya dikecualikan daripada rantaian makanan global,” kata laporan itu.

Dapatan ILC itu terkandung dalam laporan khas ““Uneven Ground – Land Inequality at the Heart of Unequal Societies” yang diterbitkan hari ini.

Ia menggambarkan dapatan itu sebagai ‘membimbangkan’, terutama dengan ketiadaan butiran tentang kepentingan entiti korporat dan dana pelaburan asing ke atas tanah-tanah di serata negara berbeza.

NGO itu berkata kurangnya ketelusan dan kebertanggungjawaban muncul dalam penilaian terbaharu ke atas pelaburan skala besar tanah antarabangsa dalam sektor pertanian oleh negara-negara G20 di negara-negara ekonomi lebih kecil.

Kajian mendapati hanya 20% jual beli tanah mendedahkan identiti syarikat atau negara terlibat, manakala hanya 15% pelaburan mendedahkan lokasi sebenar tanah yang dimiliki itu.

“Dalam hanya kurang daripada 10% pembelian itu pelaburnya menyiarkan harga pembelian atau bayaran pajakan. Apa yang ketara 90% jual beli tanah itu tiada maklumat tentang rundingan dengan masyarakat setempat.”

Laporan itu berkata struktur korporat dan kewangan yang kompleks dan pegangan saham bersilang bermakna sukar untuk nampak siapa bertanggungjawab ke atas penggunaan dan pengurusan tanah.

“Juga sukar untuk pertanggungjawabkan pelabur ke atas impak ekonomi, sosial, dan alam sekitar apabila pelaburan utama tidak diketahui atau jauh daripada tanah terbabit secara geografi atau institusi,” kata ILC.

Katanya, kerajaan harus pastikan orang awam berhak mengakses maklumat ke atas semua pemindahan hak guna tanah, sama ada yang dibeli, disewa, digunakan, atau pegangan saham.

Pada masa sama, kerajaan harus menstrutkurkan semula pendaftaran tanah untuk memasukkan maklumat mengenai pemilikan dan penguasaan tanah yang tersusun menerusi instrumen kewangan yang canggih, termasuk dana tersenarai dan tidak tersenarai.

Katanya, pelaporan telus di pihak pelabur dan kebertanggungjawab tidak mungkin berlaku tanpa penguatkuasaan berkesan oleh pihak berkuasa negara tuan rumah.

“Tak banyak akan berubah jika kerajaan (terutama negara asal pelabur) tidak mengenakan syarat pematuhan dan pelaporan wajib yang pertanggungjawabkan syarikat,” katanya.

Juga penting, katanya, menghormati izin maklum bagi kaum pribumi sebagai hak yang diiktiraf undang-undang antarabangsa, dan memberikan masyarakat pilihan untuk memberikan atau tidak memberikan izin kepada projek yang dirancang atas tanah mereka.

Sokongan awam, termasuk kewangan pembangunan untuk pelaburan atau projek, harus tertakluk pada penerbitan semua maklumat yang wajar, kata NGO itu.

“Syarikat dan pelabur wajib siarkan pegangan saham mereka di syarikat dan inisiatif lain yang memiliki, mengakses, dan mengawal tanah dan kegiatan berkaitan tanah,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.