
Pengecualian itu sebelum ini membenarkan kapal asing yang terlibat dalam pembaikan kabel dasar laut beroperasi tanpa perlu memohon pengecualian perlesenan perkapalan dalam negeri.
Menurut laporan Malaysiakini, satu surat dikirim firma gergasi teknologi berkenaan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyatakan, ia akan memperlahankan sebarang usaha pembaikan pada masa akan datang dan akan mewujudkan monopoli kerana hanya 1 syarikat tempatan berupaya melaksanakan pembaikan buat masa ini.
Bercakap kepada FMT, Wee berkata, “kebanyakan negara seperti China, Amerika Syarikat, Vietnam dan Indonesia mengamalkan dasar kabotaj.
“Kenapa Malaysia tak boleh? Saya akan mendedahkan semua perkara di Parlimen,” katanya.
Beliau turut menyanggah dakwaan Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook yang mempersoalkan pembatalan kabotaj itu apabila beliau membangkitkan isu berkenaan di Dewan Rakyat pada 17 November.
“Tuduhan dibuat Loke tidak tepat. Perkara itu melalui proses sewajarnya dan nota Kabinet mengenai perkara berkenaan juga dihantar pada 13 November, iaitu sebelum Loke membangkitkan perkara itu di Parlimen,” kata Wee.
Pembatalan berkuat kuasa pada 15 November itu dipuji Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) yang menyifatkan tindakan itu sebagai “patriotik” dan berkata ia meletakkan “Malaysia dahulu”.
Antara ahlinya, Optic Marine Group, sedang dalam proses mendaftarkan kapal mengangkut kabel Malaysia.
Syarikat teknologi itu berkata, sebelum pengecualian, masa yang digunakan untuk membaiki kabel dasar laut di Malaysia antara paling perlahan di rantau ini, dengan mengambil purata 27 hari berbanding dengan 20 hari di Filipina, 19 hari di Singapura dan 12 hari di Vietnam.
“Pada masa jutaan rakyat Malaysia bergantung kepada internet untuk menjana pendapatan, pemulihan prasarana internet dasar laut yang mewakili pelaburan berbilion ringgit ditangguhkan secara tidak perlu setiap kali pembaikan dijalankan,” katanya dalam surat kepada Muhyiddin.