Sikap pemaaf saya ada had, amaran Shahidan kepada media ‘salah lapor’ isu pengkhianat’

Sikap pemaaf saya ada had, amaran Shahidan kepada media ‘salah lapor’ isu pengkhianat’

Shahidan sedang menilai kerosakan terhadap dirinya akibat media salah lapor dan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap organisasi media berkenaan.

Shahidan menegaskan akibat media salah lapor, beliau menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak, termasuk rakan-rakannya dalam Umno. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim sedang menilai “kerosakan” atas dirinya susulan laporan beliau menuduh bekas perdana menteri Najib Razak sebagai “pengkhianat” jika menolak Belanjawan 2021.

Shahidan menafikan ungkapan itu ditujukan kepada Najib semasa berucap di Parlimen kelmarin. Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) itu mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap media yang melaporkan sebaliknya.

“Saya sedang lihat kerosakan yang mereka (media) lakukan kepada saya dan saya akan rujuk kepada peguam. Saya berpendapat, perkataan bekas (menteri kesihatan) yang ditukar kepada Pekan adalah sesuatu yang disengajakan pada tahap luar biasa.

“Disebabkan saya pemaaf, dengan memohon maaf mereka ingat boleh selesaikan. Sebelum ini ada pihak yang mencabar institusi beraja dan kemudian ingat minta maaf akan selesai,” katanya pada sidang media, hari ini.

Shahidan sebelum ini berkata ungkapan pengkhianat itu dilontar beliau sejurus sebelum bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad bangun mencelah ucapannya. Shahidan berkata beliau langsung tidak menyebut Pekan (kerusi Parlimen Najib) ketika itu.

Shahidan berkata tidak wajar beliau menjadi sasaran kritikan banyak pihak termasuk rakan-rakan dalam parti.

“Saya sebutkan, saya minta semua pihak sokong Belanjawan 2021. Ia adalah belanjawan untuk rakyat, keadaan sekarang ini luar biasa, kita dijangkiti penyakit yang kita tidak pernah dengar dan kita perlu ambil pendekatan luar biasa,” kata Shahidan dalam menghuraikan ucapannya di Parlimen.

Shahidan berkata, selepas mendengar rakaman video dan beberapa penjelasan yang dibuatnya, sudah ada beberapa pihak meminta maaf kepadanya secara terbuka.

“Tetapi kena ingat, ini perbuatan pukul orang setengah mati, kemudian minta maaf. Walhal, di peringkat awal tidak patut pukul, jadi kenapa salah tafsir,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.