Dana untuk automasi, digitalisasi akan tarik syarikat pemula, kata penganalisis

Dana untuk automasi, digitalisasi akan tarik syarikat pemula, kata penganalisis

Juita Mohamad dari Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa berkata, terdapat peruntukan besar yang disalurkan kepada perusahaan mikro dan sederhana dalam sektor yang berbeza.

Putrajaya memperuntuk sekitar RM300 juta bagi membantu PKS menjalani digitalisasi dan automasi serta menggalakkan mereka menerima e-dagang melalui latihan dan peralatan digital.
PETALING JAYA:
Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dan seorang pakar ekonomi menyambut baik inisiatif dalam Belanjawan 2021 yang bertujuan menggalakkan pelaburan, dengan pakar tersebut berkata peruntukan yang disalurkan untuk automasi dan digitalisasi akan menarik syarikat pemula.

Juita Mohamad dari Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa (ISIS) berkata, terdapat peruntukan besar disalurkan kepada perusahaan mikro dan sederhana (PKMS) dalam sektor yang berbeza.

Beliau memberitahu FMT bahawa, ia selari dengan kepentingan ekonomi digital yang semakin menonjol di Malaysia, terutama PKMS yang mewakili 98.5% daripada perniagaan di negara ini, melibatkan lebih 900,000 syarikat.

Beliau berkata, PKMS perlu dilengkapi dengan pengetahuan yang tepat, infrastruktur dan peralatan dalam jangka masa sederhana, terutamanya susulan cabaran dihadapi masyarakat dalam mendapatkan kewangan untuk menerima digitalisasi.

“Pengalaman semasa permulaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac menunjukkan perdagangan digital penting untuk mencipta pekerjaan dan mengekalkan kelangsungan pengusaha kecil.

“Dengan lebih banyak peruntukan disalurkan untuk proses automasi dan digitalisasi, ia mungkin menarik minat syarikat pemula niaga di rantau ini,” katanya.

Juita bagaimanapun berkata, proses menjalankan perniagaan perlu dipermudahkan untuk menarik pelabur yang dikehendaki, manakala bekalan pekerja berkemahiran juga diperlukan bagi menarik firma yang bersedia untuk automasi dan digitalisasi.

Juita Mohamad.

Putrajaya memperuntukkan RM150 juta dalam bentuk geran untuk proses digitalisasi dan automasi PKS, manakala peruntukan RM150 juta lain disalurkan untuk menggalakkan PKS menerima e-dagang melalui latihan dan peralatan digital.

Juita berkata, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM230 juta untuk membiayai automasi dan peningkatan kemahiran PKS, terutama sebagai modal kerja dan menaik taraf sistem automasi.

Presiden FMM Soh Thian Lai berkata, penubuhan pusat perdagangan global disambut baik kerana ia akan memberi insentif kepada syarikat supaya memanfaatkan Malaysia sebagai hab pemerolehan atau pengedaran.

Beliau berkata lanjutan insentif cukai khas Penjana bakal menarik pelaburan langsung asing (FDI), tetapi menggesa ia diperluaskan kepada pelaburan sedia ada.

“Pelabur ‘tersedia’ ini boleh menggunakan insentif itu serta-merta untuk menghasilkan keputusan yang dikehendaki lebih cepat, terutamanya dari segi kesan berganda ke atas pembekal,” katanya kepada FMT.

Langkah penting lain adalah peruntukan RM500 juta untuk menyokong syarikat yang terlibat dalam teknologi canggih dan inovasi.

Beliau berkata, ini akan membolehkan firma kekal berdaya saing dalam rantai perbekalan global.

“Langkah yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2021 itu bertujuan memberi sokongan kepada perniagaan yang sedang memulih dan dapat mempercepatkan pelaburan yang penting dalam usaha memulihkan ekonomi.

“Selain itu, langkah untuk mempermudahkan akses dan meningkatkan daya saing disambut baik dan akan memberi manfaat kepada PKS dalam norma baru perniagaan akibat wabak Covid-19,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.