
Menerusi kenyataan Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif YWP, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli Parlimen Ipoh Timur dan pemimpin DAP itu atas kapasiti peribadinya dan bukan selaku pengerusi PAC.
YWP mendakwa Wong menyalahgunakan kedudukannya sebagai pengerusi PAC untuk melontar tuduhan tidak benar terhadap badan itu, yang antara lain, melibatkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Berdasarkan peruntukan perlembagaan dan undang-undang, YWP berhak mempertahankan diri terhadap 3 kenyataan Wong yang dilihat berniat menjatuhkan kredibiliti YWP.
“Ia seperti kenyataan bahawa Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur secara automatik dilantik menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan terlibat dalam penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” menurut kenyataan itu.
Bukan itu sahaja, Wong turut mengaitkan YWP kepada isu penjualan 97 bidang tanah DBKL termasuk Taman Rimba Kiara serta mendakwa YWP tidak dipantau oleh sebarang pihak berkuasa, tambah yayasan itu.
“YWP menafikan segala pertuduhan tersebut sekeras- kerasnya dan mempertahankan nama baik YWP, agar dapat meneruskan usaha membantu warga Wilayah Persekutuan yang kurang berkemampuan dan memerlukan, selaras tujuan penubuhannya,” katanya.
Sebelum ini, Wong mengingatkan YWP supaya tidak mengugut ahli jawatankuasa PAC susulan dakwaan berhubung penjualan tanah milik DBKL.
Menurutnya, sebarang tuduhan atau ugutan terhadap PAC atau ahli jawatankuasa berhubung isu yang disiasat mereka boleh dianggap mencampuri bidang kuasa Parlimen dan salah di sisi undang-undang.