
Ia dapat mengurangkan masa perjalanan antara Johor Bahru dan Singapura kepada hanya 5 minit, sebaik saja mula beroperasi menjelang akhir 2026.
RTS akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura.
Projek itu yang dibangunkan Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd, anak syarikat MRT Corp, terdiri daripada laluan kereta api ringan sejauh 4km yang mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam pada waktu puncak.
Seramai 150,000 penumpang hariannya akan merangkumi hampir separuh daripada jumlah penumpang harian antara 2 negara.
Projek itu dilancarkan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena ulang tahun hari keputeraan Sultan Johor.
Majlis pecah tanah sebenar, yang diadakan di tapak projek itu untuk bangunan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), dilancarkan Sultan Ibrahim secara maya dari Istana Bukit Serene.

Dalam kenyataan di Facebook Sultan Johor, RTS Link bukan saja akan memberikan manfaat dari segi sosio-ekonomi, tetapi akan mengubah lanskap pengangkutan awam di Johor.
“Projek ini dapat terus mengeratkan hubungan sosial, politik dan ekonomi antara Malaysia serta Singapura.”
Pembinaan projek itu dijangka bermula akhir bulan ini.
Bercakap pada sidang media selepas pelancaran projek itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Mohd Zarif Mohd Hashim berkata struktur sivil projek itu akan mengambil 4 tahun untuk dibina.
Tambahan 2 tahun diperlukan untuk memasang sistem dan menguji operasinya.
Zarif berkata, projek itu akan mewujudkan 1,500 pekerjaan dan menyokong tambahan 15,000 pekerjaan.
Kira-kira RM800 juta daripada keseluruhan kos pembinaan RM2 bilion sudah diperuntukkan kepada kontraktor Bumiputera di Johor.
Kos projek RM3.7 bilion hanya untuk bahagian Malaysia dan termasuk kos pengambilalihan tanah.
Zarif bagaimanapun tidak menjangkakan kemajuan projek akan dihalang pandemik Covid-19 kerana MRT Corp mempunyai pengalaman sama mengendalikan pembinaan berterusan MRT Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya).
“Kami sudah menetapkan SOP. Kami akan memastikan aktiviti pembinaan dan ekonomi tidak terhenti ketika pandemik.”
Bercakap pada pelancaran projek itu, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, kementerian komited memastikan projek itu disiapkan menjelang 2026.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu juga yakin RTS dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi Johor, selain mengukuhkan sektor pelancongan serta hartanah.