
Kata sepakat itu dicapai hasil perbincangan antara pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), wakil persatuan penduduk dan peniaga di kawasan terbabit.
Sebelum ini, Gabungan Persatuan Penduduk 5 Taman membantah pembukaan gerai di hadapan taman perumahan mereka yang didakwa menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat apabila berlaku kesesakan kenderaan untuk keluar melalui Persiaran Geliga 1.
Taman berkenaan ialah Taman Melewar, Taman Koperasi Polis Fasa 1, Taman Changkat Desa/Melewar 2, Taman Rowther dan Taman Karak Utama.
Gerai berkenaan dikatakan bagai cendawan tumbuh selepas hujan apabila KWP mengumumkan inisiatif program wilayah bebas berniaga selama 5 bulan bermula 15 Nov lalu bagi memudahkan rakyat menambah pendapatan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan.

Pegawai khas kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Musa Sabri Sattar berkata pihaknya hadir bagi mendengar keluhan kedua-dua pihak serta mengambil kira pandangan serta pendapat semua.
“Kita terima aduan berkaitan perkara ini sejak beberapa hari lalu dan akhirnya, menerusi mesyuarat hampir 2 jam ini, kita capai kata sepakat dengan membenarkan gerai ini beroperasi seperti biasa tetapi perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh persatuan penduduk antaranya mengutamakan aspek kebersihan dan mematuhi jarak di antara gerai.
“Kita semua tahu, Covid-19 memberi kesan kepada semua orang lebih-lebih lagi dari segi ekonomi, justeru saya harap semua pihak dapat mencapai situasi menang-menang dengan pelaksanaan program wilayah bebas berniaga ini,” katanya selepas sesi perbincangan yang berlangsung di Dewan Komuniti Desa Changkat, Batu Caves semalam.

Beliau turut menyeru supaya sebarang permasalahan yang timbul pada masa akan datang dibincangkan dalam keadaan harmoni supaya isu berkenaan tidak menimbulkan kesulitan kepada semua pihak.

“Dalam soal ini, kita mahukan keadilan bagi kedua-dua pihak terutama membabitkan isu trafik dan kebersihan tapak. Ia perlu dirunding sebaiknya,” katanya.
Dalam pada itu, pengerusi gabungan persatuan penduduk, Ghazali Harun berkata mereka membuat aduan kepada pihak berkuasa sebelum ini kerana terdapat rungutan penduduk berhubung lokasi gerai di kawasan terbabit menghalang pandangan lalu lintas.
“Ada gerai yang dibuka betul-betul di selekoh keluar masuk taman perumahan dan ia membuatkan penduduk setempat berasa tidak senang,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, menerusi perbincangan itu, penjaja bersetuju untuk mengubah kedudukan gerai ke lokasi lebih strategik dan pada masa sama mematuhi aspek kebersihan.
“Difahamkan juga, gerai ini hanya menjalankan perniagaan dalam tempoh sementara sahaja sebelum tapak kekal diperolehi selain urusan mendapatkan lesen berniaga selesai,” katanya.
Pada 10 Nov, KWP mengumumkan semua warga Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan dibenarkan dan dimudahkan berniaga kecil-kecilan di mana sahaja dalam wilayah itu dengan pemohon hanya perlu menghubungi pihak berkuasa tempatan.