Pasir Gudang kini bertaraf bandar raya

Pasir Gudang kini bertaraf bandar raya

Majlis Perbandaran Pasir Gudang dimasyhurkan sebagai Majlis Bandaraya Pasir Gudang berkuat kuasa hari ini.

Pasir Gudang merupakan pihak berkuasa tempatan ke-3 dinaik taraf sebagai bandar raya selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru pada 1994 dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri pada 2017. (Gambar Facebook)
ISKANDAR PUTERI:
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sebagai Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) berkuat kuasa, hari ini.

Menteri Besar Hasni Mohammad mengumumkan perkara itu kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama warga kerja MBPG, di Kota Iskandar, di sini, sekali gus menyerahkan watikah pengisytiharan MBPG kepada Datuk Bandar Pasir Gudang, Asman Shah Abdul Rahman.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Ayub Jamil.

Hasni berkata, MBPG merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke-3 dinaik taraf sebagai bandar raya selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada 1994 dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada 2017.

“Kepesatan pembangunan Pasir Gudang sebagai sebuah bandar industri dan pelabuhan dengan memiliki 2 pelabuhan bertaraf antarabangsa dan kemudahan prasarana menyeluruh yang mengutamakan kesejahteraan rakyat serta lengkap memenuhi syarat keperluannya, maka, adalah wajar Pasir Gudang mendapat pengiktirafan dan status sebagai sebuah bandar raya,” katanya.

Menurut Hasni, kawasan pentadbiran MBPG yang berkeluasan 35,956 hektar meliputi Mukim Tiram dan sebahagian Mukim Plentong itu menempatkan seramai 533,868 orang dengan majoriti penduduk Melayu sebanyak 66%, Cina dan India masing-masing 11%, manakala lain-lain 2%.

“Jumlah pegangan harta ialah sebanyak 90,758 dengan anggaran hasil sebanyak RM127.2 juta setahun.

“Sehingga 31 Dis lepas, MPPG berjaya mengutip cukai taksiran semasa sebanyak RM103,132,089 (85.6%) daripada RM120,458,033, manakala bagi kutipan tunggakan cukai taksiran pula sebanyak RM18,925,282 (61.1%) berjaya dikutip daripada jumlah tunggakan keseluruhan RM30,967,097,” katanya.

Beliau berkata jumlah keseluruhan hasil yang dikutip termasuk cukai, bukan cukai dan terimaan bukan hasil sehingga Disember lepas berjumlah RM182.7 juta, manakala hingga bulan lepas berjumlah RM160.3 juta.

Selain itu, perjawatan di MPPG juga terus berkembang dengan sumber manusia seramai 541 orang, termasuk 203 orang bertaraf kontrak.

Sementara itu, Asman Shah yang sebelum ini merupakan pegawai daerah Mersing berkata, beliau akan menumpukan isu keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan pentadbirannya.

“Fokus saya ialah untuk menjadikan Pasir Gudang sebagai sebuah bandar industri yang selamat dan lestari untuk didiami penduduknya.

“Selain itu, saya juga akan memberikan tumpuan kepada aspek kemasyarakatan, termasuk menjamin kelangsungan 16 kampung tradisi yang berada dalam kawasan berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.