1,096 kes baru Covid-19, 3 kematian

1,096 kes baru Covid-19, 3 kematian

Enam daripadanya ialah kes import, manakala selebihnya 1,090 ialah kes penularan tempatan.

PETALING JAYA:
Sebanyak 1,096 kes baru Covid-19 dan 3 kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 6 daripadanya ialah kes import dan baki 1,090 kes ialah penularan tempatan.

Katanya, Selangor melaporkan kes harian tertinggi dengan 603 kes (55%), diikuti Sabah sebanyak 311 kes (28.4%).

Beliau berkata, kes tinggi di Selangor berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster, terutamanya kluster berkaitan tempat kerja, iaitu kluster Teratai dengan pertambahan 502 kes (83.3%).

“Sabah pula mencatatkan jumlah kes yang tinggi hari ini disebabkan peningkatan pengesanan kes dalam kalangan saringan kontak rapat, iaitu sebanyak 139 kes (44.7%),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hisham berkata, 72 kes (6.6%) yang dilaporkan hari ini berkaitan kluster di pusat tahanan sementara (PTS) dan penjara, iaitu kluster Tembok (42 kes), kluster Bakti (16 kes), kluster Rumah Merah (4 kes), kluster Penjara Sandakan (4 kes), kluster Penjara Seberang Perai (2 kes), kluster Penjara Reman (2 kes), kluster Penjara Kepayan (1 kes) dan kluster Matambai (1 kes).

Negeri lain yang melaporkan kes positif hari ini ialah Perak (55 kes), Kuala Lumpur (30 kes), Negeri Sembilan (29 kes), Kedah (16 kes), Pulau Pinang (15 kes), Labuan (13 kes), Johor (9 kes), Kelantan (8 kes), Melaka (5 kes) serta Putrajaya dan Perlis (masing-masing 1 kes).

Seramai 1,104 pesakit pulih hari ini, menjadikan keseluruhan 41,597 atau 75.9% pesakit sudah sembuh daripada 54,775 kes positif Covid-19 yang dicatatkan di Malaysia setakat ini.

Seramai 12,843 pesakit Covid-19 sedang dirawat di seluruh negara, dengan 106 orang di unit rawatan rapi dan 46 lagi memerlukan bantuan pernafasan.

Tiga kematian yang dilaporkan hari ini berlaku di Sabah, menjadikan semuanya 335 kematian.

Kematian ke-333 membabitkan seorang lelaki berusia 68 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan strok, disusuli seorang lagi lelaki berusia 90 tahun dengan penyakit aritmia jantung, dislipidemia serta strok.

Kematian ke-335 membabitkan seorang wanita berusia 80 tahun yang pernah diserang strok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.